MARAN: Kerajaan negeri sedia meneliti dan mengkaji untuk meneroka sumber nadir bumi sekali gus membina kilang pemprosesan bahan mineral itu di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri wan Rosdy Wan Ismail yang mengakui bahawa Pahang antara 10 negeri yang mempunyai unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) berkata, kajian menyeluruh perlu dibuat kerana perkara itu membabitkan kawasan alam sekitar dan perhutanan.
“Kita sahkan nadir bumi memang ada di Pahang tetapi banyak mana nilai sedang diteliti pakar dalam bidang berkenaan.
“Kerajaan Pahang amat positif dalam mengusahakan pengeluaran hasil nadir bumi kerana secara langsung menjanjikan pulangan hasil dan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat (STR) Felda Pahang di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 14 di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa, Malaysia perlu segera membina kilang pemprosesan nadir bumi oksida yang merupakan keutamaan kritikal negara berdasarkan permintaan cukup tinggi bahan mineral itu di seluruh dunia.
Terdapat 10 negeri membabitkan 29 kawasan mempunyai unsur IAC-REE dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran RM810 bilion.
Negeri terbabit adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pengeluaran nadir bumi di Pahang berpotensi menjadi sumber pendapatan terbaharu di negeri ini sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat.
Bagi meneroka sumber itu, beliau berkata, penubuhan Akademi Mineral Pahang di Lipis tahun ini antara strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk melatih generasi muda dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, kampus sementara di Lipis melatih pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjuruskan kepada tenaga kerja bagi meneroka hasil mineral di Pahang.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri bersedia menggunakan kepakaran rakyat tempatan khususnya Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang sudah pun menjalankan penyelidikan dalam pemprosesan nadir bumi,” katanya. – UTUSAN










