Kabinet bayangan penting elak kerajaan syok sendiri

Kabinet bayangan penting elak kerajaan syok sendiri

DENGAN adanya Kabinet bayangan, dapat memantapkan lagi sistem politik dan pentadbiran negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEWUJUDAN sebuah Kabinet bayangan adalah penting supaya ia dapat melakukan proses semak dan imbang dengan baik serta berkesan sekali gus dapat mengelakkan kerajaan terlebih yakin atau syok sendiri dalam memerintah negara ini.
Sudah sampai masanya Malaysia melakukan perubahan drastik terhadap sistem politik dan pentadbirannya.

Proses demokrasi yang telah lama diamalkan dalam negara ini perlu dimantapkan untuk kebaikan semua pihak. Diantara proses penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap proses demokrasi negara ialah dengan membenarkan dan mengiktiraf secara rasmi Kabinet bayangan yang dianggotai oleh pasukan pembangkang.

Kewujudan kabinet bayangan ini tidak seharusnya dipandang negatif atau dihalang oleh pihak kerajaan yang memerintah. Dengan adanya Kabinet bayangan daripada pasukan pembangkang ini, segala kesilapan atau salah laku yang dilakukan oleh mana-mana anggota pentadbiran dapat dikenalpasti dengan dekat dan tindakan susulan dapat diambil dengan segera.

Penting untuk diketahui juga, dengan adanya Kabinet bayangan, penyediaan awal dapat dilakukan sekiranya ada perubahan terhadap kedudukan kerajaan sedia ada. Negara kita tidak perlu menunggu lama untuk melantik Kabinet baharu sekiranya kerajaan sedia ada jatuh atau bertukar tangan seperti yang pernah berlaku dalam negara kita pada awal 2020 yang lalu.

Bagi memantapkan lagi institusi demokrasi dalam negara kita, sudah sampai masanya Kabinet bayangan oleh pasukan pembangkang ini diberi satu bentuk pengiktirafan dan diterima oleh semua pihak.

Pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menyalurkan wang peruntukan secara tahunan kepada anggota Kabinet bayangan supaya mereka dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik dan berkesan. Pun begitu, segala wang peruntukan yang diberikan perlu dipantau supaya tidak disalahgunakan untuk tujuan lain yang tidak berkaitan dengan fungsi Kabinet bayangan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR
SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×