Penjara Kelantan 'kritikal'

Penjara Kelantan ‘kritikal’

MAT Yaacob (tengah) menunjukkan songkok yang dihasilkan oleh penghuni Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan hasil tangan prospek penjara di gerai jualan di Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-234 Peringkat Negeri Kelantan di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini. -UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Kelantan mendedahkan penjara di negeri ini berada dalam keadaan ‘kritikal’ namun masih mampu menampung kapasiti kesesakan banduan.

Pengarahnya, Mat Yaacob berkata, kesesakan ketika ini berada pada 87 peratus dengan jumlah banduan mencapai 7,000 orang dan situasi itu sekali gus melebihi kapasiti asal seramai 3,000 banduan.

“Tahap kemasukan bantuan reman atau sabitan secara purata mencecah 100 ke 150 orang sehari di negeri ini walaupun ada yang bebas secara harian,” katanya kepada pemberita semasa Sambutan Hari Penjara Ke-234 Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Serah Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mat Yaacob memberitahu, JPM Kelantan menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk melatih prospek yang akan dilepaskan melalui parol dan PPDK sebagai penoreh getah profesional di ladang-ladang getah.

Katanya, melalui usahasama itu JPM Kelantan perlu menyediakan seramai 750 prospek untuk dibekalkan sebagai tenaga penoreh profesional bagi tahun ini.

“Semalam kita melepaskan seramai 93 prospek menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) untuk bekerja di ladang-ladang getah sekitar Kuala Krai dan Tanah Merah. Pada masa hadapan kita mungkin akan meliputi seluruh Kelantan.

“Kelmarin kita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (LPPK) di tiga negeri iaitu Kelantan, Perlis dan Sabah di Pejabat Pengarah Penjara Negeri Kelantan dengan disaksikan oleh Komisioner General Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrahim Abdul Rahman,” ujarnya.

Mat Yaacob berkata, MoU berkenaan adalah untuk prospek menjalankan aktiviti pertanian di bawah program keterjaminan makanan.

Katanya, JPM Kelantan mempunyai sebuah projek bernilai RM180,000 membabitkan 12,000 pot tanaman hidroponik di Pusat Reintegrasi Penghuni di Kuala Krai.

“Melalui kerjasama dengan agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan syarikat-syarikat CSI, kita melepaskan antara 100 hingga 200 banduan sebulan di Kelantan sahaja dengan 99.9 peratus mendapat kerja dan seterusnya kembali ke dalam masyarakat sebagai rakyat yang normal,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×