Jenayah siber, dadah cabar PDRM, pihak berkuasa lain - Saifuddin - Utusan Malaysia

Jenayah siber, dadah cabar PDRM, pihak berkuasa lain – Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail bergambar pada Majlis Sesi Dialog Khas 2024 PDRM di Maktab PDRM, Cheras hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  dalam menangani jenayah siber dan penyalahgunaan bahan seperti dadah memasuki fasa yang mencabar pihak berkuasa negara ini.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cabaran tersebut bukan hanya dialami  Malaysia tetapi sudah menjadi  fenomena global.

Oleh itu, menurut beliau, PDRM dan pasukan keselamatan lain di negara ini tidak boleh lagi sekadar bergantung kepada pengalaman, keupayaan dan pengetahuan semata-mata kerana semua itu belum memadai untuk  mendepani jenayah yang  semakin kompleks.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang ada berlaku serangan siber namun perkara itu berada dalam radar pengesanan pihak berkuasa dan kita sedar ia berlaku dengan kerap.

“Kita dalam keupayaan mengesan pencerobohan siber termasuk laman strategik kerajaan tetapi  cabarannya adalah bagaimana mahu tanganinya, itu sebenarnya dalam usaha untuk dibincang di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN)” katanya.

Saifuddin  berkata demikian dalam Majlis Sesi Dialog Khas 2024 PDRM di Maktab PDRM di sini hari ini. Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

DIALOG

Dalam perkembangan sama, kata Saifuddin, menerusi program sesi dialog yang disertai wakil dari 45 negara itu akan memberi fokus kepada jenayah siber dan penyalahgunaan bahan serta perkongsian maklumat di peringkat antarabangsa.

“PDRM ambil inisiatif anjur dialog ini yang mana diwakili oleh delegasi yang datang dengan pengalaman dan kemahiran berbeza sekali gus membolehkan perkongsian maklumat, kepakaran dan pengetahuan khusus untuk menangani dua permasalahan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Razarudin berkata, aktiviti berkaitan jenayah siber dan penyalahgunaan bahan seperti dadah harus diberi perhatian serius dalam mengatasi masalah berkenaan pada masa akan datang.

“Kita perlu tahu dan lihat dalam masa lima hingga 10 tahun lagi apakah bentuk dan taktik jenayah siber dan penyalahgunaan bahan ini dan kita perlu faham dari sekarang.

“Sekiranya kita tidak mengambil dan melakukan apa-apa langkah pencegahan dari sekarang kita akan ketinggalan,” jelasnya.

Kata  beliau, PDRM kini ke arah untuk mengurangkan dan mengatasi masalah jenayah penyalahgunaan bahan narkotik dan jenayah siber.

“Kita perlu wujudkan satu entiti seperti gabungan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam konteks keselamatan yang akan berkolaborasi di bawah MKN.

“Ini ditambah dengan kepakaran, kemahiran dan pengalaman dimiliki oleh gabungan entiti dapat mempertingkatkan daya kita dalam menangani jenayah berkaitan,”katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini