PETALING JAYA: Prestasi yang dipamerkan, S. Sivasangari pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Greater Cleveland di Cleveland, Amerika Syarikat, kelmarin menunjukkan petanda positif bahawa pemain No. 15 dunia itu mampu menggalas harapan negara pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Sekalipun tumpas kepada pemain No. 6 dunia, Georgina Kennedy 11-13, 8-11, 14-12, 11-6, 9-11 namun, dia membuktikan berupaya memberikan tentangan sengit kepada pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Ini bukan kali pertama Sivasangari hampir mengejutkan pemain dalam kelompok tersebut, pada hujung tahun lalu pada Terbuka Singapura, dia berjaya menewaskan jaguh Mesir, Nour El Tayeb.
Malah, ketika ditemu bual selepas perlawanan tamat, jaguh England itu menyifatkan pertemuannya dengan Sivasangari sangat sukar.
“Saya berkata kepada Sivasangari sebaik perlawanan berakhir, bahawa tiada siapa yang berhak tewas pada pertemuan ini.
“Saya sangat lega dan bernasib baik kerana berjaya sampai ke garisan penamat, pukulan dia sangat tidak masuk akal, pujian kepadanya kerana sama ada dia ataupun saya yang berjaya mara, syukur saya yang mampu muncul sebagai pemenang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, Sivasangari tidak bermula baik pada set pertama sedangkan kemenangan amat penting dalam perlawanan berkenaan.
“Permainan berlangsung sengit, namun sepanjang pertemuan itu ada turun, naik dan Gina Kennedy meningkatkan kelajuan permainannya dalam set kelima.
“Sivasangari cuba mememberi cabaran, namun akhirnya dia tidak mampu berbuat demikian walaupun cuba bertahan,” ujarnya.
Beliau mengakui, pemain wanita No. 1 negara itu berjaya memberikan tentangan sengit kepada lawannya itu.
“Cuma proses yang dilaluinya berjalan secara perlahan dan stabil kerana bukan mudah untuk berdepan pemain dalam 10 terbaik dunia, anda perlu sentiasa kekal konsisten tetapi saya percaya dia mampu melakukannya,” katanya. – UTUSAN










