PAPAR: Syarikat pembungkusan semula atau repacker yang terlibat dalam penyelewengan dan ketirisan minyak masak paket berhadapan tindakan pembatalan lesen dengan serta-merta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, berdasarkan audit yang dilakukan bermula Oktober tahun lalu hingga penghujung Mac ini, beberapa syarikat termasuk di Sabah telah dibatalkan lesen dengan serta-merta.
Namun, pengumuman bilangan syarikat yang dibatalkan lesen ini akan dimaklumkan selepas semua negeri selesai melakukan audit kerana proses audit masih berjalan termasuk sepanjang Ramadan ini.
“Kita buat audit mana-mana berlaku penyelewengan, pelantikan mereka akan dibatalkan serta-merta sebagai pembungkus semula.
“Antara penyelewengan yang dikenal pasti adalah syarikat terbabit tidak membezakan tangki bagi pembungkusan minyak botol dan minyak bersubsidi. Malah, ada syarikat yang menjual minyak subsidi kepada industri dan bukan dipaketkan untuk dijual kepada peruncit bagi dipasarkan untuk pengguna.
“Di samping itu, kita mendapati berlaku ketirisan hingga minyak masak paket dijual di seberang, di negara jiran,” katanya selepas melancarkan Program Jualan Rahmah (PJR) di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Kinarut semalam.
Justeru, KPDN akan menambah baik Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCoss) bagi memantau proses agihan minyak paket daripada repacker kepada pemborong dan seterusnya peruncit. – UTUSAN











