SAUDARA PENGARANG,
Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) bagi 2023 mencatatkan skor 7.24, berbanding skor 6.47 pada 2022 dan 6.09 pada 2021 dengan lapan ciri menunjukkan peningkatan skor yang memberangsangkan.
Ciri-ciri IMNR yang berteraskan nilai mempunyai banyak persamaan dan saling berkait dengan gagasan Malaysia Madani. Dapatan IMNR memberi gambaran positif dalam hasrat kerajaan untuk membangunkan Malaysia berteraskan konsep Madani.
Kajian indeks ini telah dijalankan di seluruh negara dari bulan September hingga November 2023. Kajian ini melibatkan 3,192 responden yang terdiri daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai tahap pendidikan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kajian dijalankan menggunakan persampelan berstrata. Hasil kajian ini menunjukkan pencapaian keseluruhan bagi ciri-ciri negara rahmah bagi 2023 berada pada skor 7.24 daripada 10 iaitu pada tahap sederhana. Ciri-ciri yang mendapat skor tertinggi ialah ciri 6 iaitu Institusi Keluarga Yang Utuh (7.98), ciri 12 Menerajui Usaha Keamanan Dan Kesejahteraan Sejagat (7.93) dan ciri 5, Masyarakat Yang Berilmu, Berakhlak Dan Penyayang (7.72).
Namun, ciri 9, Agihan Kekayaan yang Saksama (6.14), ciri 8, Ekonomi yang Mampan (6.84) dan ciri 3 Tadbir Urus yang Baik (6.86) mendapat skor yang paling rendah.
Penemuan menarik bagi 2023 berbanding 2022 adalah peningkatan ketara untuk skor untuk ciri 12 Kesejahteraan Sejagat (1.27), ciri 3 Tadbir Urus Yang Baik (1.18) dan ciri 1 Kepimpinan Yang Kompeten dan Berintegriti (1.07).
Sebaliknya, ciri 7 Hubungan Etnik dan Penganut Agama menguncup dengan penurunan skor sebanyak 0.27 dari 7.40 pada 2022 ke 7.13 pada 2023.
IKRAM berpandangan indeks memberi gambaran yang menyeluruh terhadap pencapaian usaha-usaha semua pihak dalam membangunkan Malaysia Madani. Dapatan indeks ini dapat membantu dan memacu mencapai aspirasi negara. – UTUSAN
Pertubuhan IKRAM Malaysia










