Antara sentimental dan realiti sedih warga Felda

Antara sentimental dan realiti sedih warga Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FELDA begitu sentimental, nostalgia buat orang Melayu.

Melihat dunia peneroka Felda membuatkan seseorang itu insaf sesungguhnya rakyat negara ini cukup diberi perhatian oleh kerajaan.

Di sesetengah negara lain, ada pemerintahnya tidaklah sampai membekalkan kemudahan-kemudahan atau memberi pemilikan tanah seperti dilaksanakan di Malaysia. Bahkan, pembinaan surau dan masjid pun terpaksa dikendalikan oleh rakyat sendiri.

Suatu ketika, peladang di Bukit Tinggi, Sumatera Barat tidak mendapat bantuan baja, tiada bantuan tanam semula seperti pernah dinikmati pekebun kecil negara ini – sekitar RM9,320 hingga RM14,000 sehektar. Skim rancangan pemilikan tanah kebun ala Felda juga tidak ada di negara-negara terbabit. Skim pemulihan tanah seperti yang dikendalikan Felcra tidak kedengaran oleh mereka.

Sememangnya Felda amat dekat di hati orang Melayu. Biarpun banyak kisah gembira di masa lalu, peredaran masa bagaimanapun menjadikan lebih banyak kisah sedih menyelubungi Felda.

RUGI

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dikeluarkan 6 Mac lalu mendedahkan Felda merekodkan kerugian RM1 bilion pada 2022, hampir dua kali ganda berbanding kerugian RM545 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Laporan itu mengenai penyata kewangan agensi Persekutuan bagi 2022.

Dalam laporan berkenaan, ketua audit negara berkata, Felda juga berhutang RM8.66 bilion dengan kerajaan Persekutuan pada 2022, menurun sedikit berbanding RM8.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Laporan itu menasihatkan Felda merencana arah jelas ke atas operasi tanpa bantuan kewangan tambahan daripada Putrajaya.

Katanya, Felda “terlalu bergantung pada bantuan kewangan dari kerajaan persekutuan”, menerima geran berjumlah RM200 juta pada 2022 berbanding RM342 juta pada 2021.

“Pengurangan geran yang diterima Felda ini menjejaskan kelangsungan operasinya.”

Laporan itu turut menasihatkan Felda meningkatkan pemantauan terhadap syarikat subsidiarinya bagi memastikan kelestariannya dapat dikekalkan dan terus berdaya maju tanpa bergantung kepada agensi induk serta berupaya memberi pulangan baik kepada Felda.

Menurutnya, Felda mempunyai pinjaman di peringkat kumpulan, termasuk perjanjian kemudahan pembiayaan tawarruq dengan GovCo Holdings Bhd berjumlah RM2.5 bilion.

“FICP gagal membayar balik pinjaman tersebut menyebabkan Felda telah memeterai perjanjian baharu dengan GovCo sebagai jaminan korporat bagi kemudahan pembiayaan tawarruq tersebut.”

Ya, tiada siapa dapat menyangkal sumbangan dan jasa Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang begitu sinonim dan dekat di hati warga Felda khususnya peneroka. Bakti dan sumbangan Perdana Menteri kedua itu dalam usaha menubuhkan Felda untuk membuka tanah dan mengagihkannya kepada rakyat bagi tujuan pembangunan lebih 50 tahun lalu bukan sahaja berjaya mengatasi masalah kemiskinan masyarakat luar bandar, bahkan meningkatkan taraf hidup golongan itu sehingga hari ini.

Selepas 48 tahun pemergian Allahyarham Tun Razak pada 14 Januari 1976, Felda yang lebih dikenali sebagai legasi Tun Razak terus hidup, tetapi perubahan masa menyaksikan catatan kisah-kisah sedih melibatkan kerugian yang menghantui dan melukakan Felda.

LUBUK UNDI

Bagi parti-parti politik, Felda dianggap lubuk undi. Parti-parti politik yang bertanding saling mengejar habuan populariti. Antara bahan kempen pilihan raya – mereka memperjuangkan isu hutang peneroka Felda.

Mana tidaknya. Dalam Felda sahaja, selain 54 kerusi Parlimen sedia ada, turut meliputinya adalah 92 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Tanah rancangan orang Melayu itu mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka. Felda Plantation sahaja memiliki tanah seluas 341,000 hektar – majoritinya di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.

Di Pahang sahaja, selain angka kerusi Parlimen dilitupi Felda yang disebut tadi, kerusi DUN di negeri itu turut merekodkan 27 daripada 42 kawasan adalah Felda.

Undi masyarakat Felda memainkan peranan besar menjamin kemenangan parti-parti politik bertanding. Di Johor dalam pilihan raya negeri itu 2022, parti-parti politik bertanding berusaha memikat hati pengundi. Di Johor sahaja terdapat 23,642 peneroka di 72 kawasan sekali gus kedua teramai selepas Pahang.

Malah 24 daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai penempatan peneroka Felda, jika dapat menguasai jumlah tersebut sudah tentu hampir mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan.

Pada PRN itu, peneroka Felda majoriti terdiri daripada kaum Melayu menjadi sandaran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) khususnya membabitkan isu hutang lapuk dan perumahan generasi kedua dalam bahan kempen menerusi manifesto dan ceramah masing-masing.

BN misalnya menerusi salah satu Ikhtiar BN Johor menggariskan agenda perumahan untuk generasi kedua Felda. Antara komitmen berterusan kerajaan menerusi tunjang Kesejahteraan Rakyat dengan memperuntukkan 3,200 lot tanah kepada generasi kedua jika mendapat mandat baharu pada 12 Mac 2022 itu.

PN pula sama prihatin terhadap nasib masyarakat Felda dengan merangka pelbagai usaha dengan memastikan projek perumahan generasi baharu yang sedang dibaik pulih disiapkan segera. Projek perumahan terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih, diselamatkan.

Malah parti itu dalam kempen siri ceramah mengatakan kerajaan pimpinannya itu bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion, selain menyediakan RM400 juta bagi menghapuskan faedah hutang kebun peneroka serta penerbitan sukuk yang dijamin kerajaan berjumlah RM9.9 bilion bagi menyusun semula operasi dan pengurusan Felda.

Antara sentimental, nostalgia dan kisah sedih melukakan.

Felda oh! Felda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×