Pemuda dalam perjalanan ke kuliah agama maut kemalangan - Utusan Malaysia

Pemuda dalam perjalanan ke kuliah agama maut kemalangan

KEADAAN motosikal jenis Yamaha RXZ milik Mohd. Rasis Ismail yang maut dalam kemalangan di Kilometer 261.7, LPT2 berhampiran Perasing, Kemaman, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Hasrat seorang pemuda menghadiri kuliah agama penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di Kuantan, Pahang tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 261.7, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Perasing, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam, Mohd. Rasis Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, difahamkan, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bersama lima buah motosikal lain sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan untuk menghadiri kuliah agama.

“Sebelum kemalangan berlaku, sebiji tayar gantian dari sebuah treler terjatuh di atas lebuhraya. Pemandu treler yang menyedari tayar gantian itu tercampak kemudiannya telah berhenti di kiri lebuh raya untuk mengambil tayar itu.

“Mangsa yang tidak menyedari tayar tersebut tidak sempat mengelak dan terlanggar tayar berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hanyan berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut.

Menurut Hanyan, kes akan disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Bagaimanapun, kita juga akan cuba melihat kes ini di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) sama ada terdapat unsur kecuaian yang menyebabkan kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×