Ramai mohon bantuan JKM walaupun tidak layak - Utusan Malaysia

Ramai mohon bantuan JKM walaupun tidak layak

ROSNAH Sardi ketika ditemui di Seremban baru-baru ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah permohonan bantuan yang diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan pada tahun lalu didorong pertambahan orang ramai yang tampil memohon tidak memenuhi syarat kelayakan.

Pengarah JKM Negeri, Rosnah Sardi berkata, bagi tahun lepas sahaja sebanyak 9,128 permohonan bantuan JKM mengikut kepada kategori skim serta keperluan golongan sasar telah diterima berbanding 8,195 permohonan pada tahun 2022

“Antara faktor mendorong penambahan permohonan bantuan JKM tersebut adalah kerana ramai yang telah tampil dan terdorong untuk berbuat demikian (buat permohonan). 

“Sedangkan mereka tidak layak malah syarat-syarat kelayakan tidak dipenuhi berdasarkan penetapan Pendapatan Garis kemiskinan (PGK) baharu yang ditetapkan pada kadar RM1,198 dan perkapita semasa pada kadar RM322.

“Situasi itu berlaku mungkin berikutan banyak maklumat palsu yang tular melalui media serta WhatsApp berkaitan bantuan JKM,” katanya ketika ditemui.

Menurut Rosnah, bantuan kewangan bulanan JKM adalah untuk keperluan golongan sasar seperti keluarga miskin, warga emas dan orang kurang upaya dengan kadar bantuan berbeza mengikut kategori skim.

“Sungguhpun begitu, bantuan kewangan tersebut perlu difahami bahawa ia bukanlah bersifat kekal sebaliknya, ia adalah bersifat sementara sehinggalah keadaan kumpulan sasar pulih serta mampu hidup berdikari,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, statistik pada tahun 2023 turut menunjukkan 1,238 kes telah ditamatkan bantuan disebabkan penerimanya sudah tidak layak dan telah mampu berdikari. 

“Selain itu, faktor lain dikenal pasti iaitu pendapatan isi rumah sudah meningkat berikutan telah mendapat pekerjaan yang gajinya melebihi PGK atau hasil perniagaan telah meningkat.

“Faktor lain, adalah lebih daripada seorang ahli isi rumah yang telah bekerja, meninggal dunia, berpindah keluar dari daerah, negeri dan lain-lain. 

“JKM melihat keadaan ini dari sudut yang positif di mana keluarga ini telah dapat meningkatkan taraf hidup, kesejahteraan mereka di samping dapat berdikari dalam meneruskan kehidupan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×