Cerpen: Rumah kami

Cerpen: Rumah kami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kami juga ada hak. Kami juga makhluk Tuhan. Kami juga ciptaan Tuhan. Kami ingin kesamarataan!

Tetapi kediaman kami semakin terancam. Kediaman kami semakin hari semakin sempit. Kediaman kami semakin kecil. Kehidupan kami semakin hari semakin terhimpit. Kebebasan kami semakin hari semakin dihimpit. Ruang untuk kami hidup semakin hari semakin diambil. Kenapa kami perlu dihambat? Kehidupan kami semakin hari semakin terbatas. Daerah kami semakin hari semakin tertimbus. Kami lemas dalam kehidupan moden ini. Kami merasakan kenikmatan hidup kian hilang dan dirampas sedikit demi sedikit.

Empat puluh tahun dahulu ruang tempat tinggal kami luas terbentang. Kami bebas ke mana-mana. Kami bebas mengalir. Kami bebas menghilir mudik. Kami tenang tidak berkocak. Kami tenang tidak berolak. Kami hidup di bawah pohon-pohon yang rendang. Kami hidup antara tebing ke tebing. Kami hidup di lurah-lurah. Kami hidup di teluk-teluk. Kami mengalir di sungai. Kami menjadi penghuni kolam. Kami kekal dan tidur lena di tasik. Tiada siapa berani mengusik.

Kini segala-galanya telah berubah. Bendang padi tempat kami bermain setiap musim tengkujuh telah bertukar menjadi daratan. Dahulunya di tanah bendang ini kami hidup bersama petani pada musim tenggala tanah dan mencedung semai. Dahulu di bendang ini padi haruan, puyu, keli dan katak hidup penuh keriangan. Kini tanah rendah tempat kami berlindung bertukar menjadi dataran tinggi. Kubang dan lubang yang dalam, tempat kami berendam telah banyak dikambus. Kini telah tumbuh rumah-rumah berderetan.

Tebing sungai mulai dibenteng dan dipasak rapi dengan keluli. Kami sedang terkurung antara benteng dan tebing. Kadang-kadang kami sebak dan berhempas pulas untuk mengalir.

Bukit-bukit kecil mulai ditarah dan dirata. Kawasan yang lembah ditimbus dan ditambun. Kami terus tenggelam. Kami jadi berpecah belah. Kami kemudianya berpisah sesama sendiri.

Tanah-tanah bukit mula diangkut untuk menimbus tasik. Tasik yang dahulunya luas dan lebar mula mengecil. Kami pun mula berkeliaran lari. Kami terpaksa beralih. Kami terpaksa mengalah. Kami terpaksa berpindah randah.

Lubang kecil

Kami mencari tanah-tanah retak dan lubang kecil untuk melarikan diri. Tetapi ke mana lagi kami akan pergi. Ke mana lagi kami akan membawa diri. Ke mana lagi kami mahu mendiami. Ke mana lagi kami akan lari. Akhirnya kami mencari tempat baru. Kami pun secara perlahan-lahan meresap dan berpindah ke dalam bumi.

Jika lopak kecil telah terkambus. Bendang telah bertukar status menjadi tapak perumahan. Kubang dan tanah rendah menjadi kilang. Tebing sungai menjadi laluan dan jalan, ke mana kami mahu mengadu dan membawa nasib serta untung. Kami menjadi bertambah malang. Kami umpama makhluk pelarian mencari perlindungan.

Kebiasaannya kami berkawan dengan selut, padi, rumput dan ikan-ikan di bendang. Biasanya kami berkawan dengan menerong, rumbia dan rumpun buluh di lubuk yang dalam dan tasik yang terpencil. Biasanya kami berkawan dengan pohon keriang dan pohon kedondong di tebing sungai. Biasanya kami berkawan dengan lembu, kerbau, bangau, belalang dan lintah.

Paling dukacita, semua peristiwa itu berlaku ketika musim kemarau sedang melanda. Pada musim kemarau kami menjadi minoriti. Kami tidak banyak muncul di musim itu. Jika adapun kami hanya bernafas di lubuk-lubuk dan dasar sungai-sungai. Kehidupan kami di tasik-tasik hanya nyawa-nyawa ikan. Kami seperti bernafas di dalam lumpur. Di tempat-tempat lain kami seperti melukut di tepi gantang. Kami tidak dihiraukan lagi.

Kubang-kubang di tengah baruh mula mendapat perhatian. Kami mula ditimba keluar dari kubang oleh manusia. Kami dicampak keluar. Kubang dikeringkan. Ketika itu mereka tidak memerlukan kami lagi. Mereka hanya perlukan ikan haruan, keli, puyu dan selat. Akhirnya kami mengalir sendiri dan masuk semula ke dalam kubang. Itulah dunia kami. Itulah realiti.

Tetapi akhirnya, jika kemarau memanjang di kubang itu jugalah itu mereka mencari kami. Kubang yang berlumut, berumput tebal dibersihkan. Kubang diperdalamkan. Selut serta tongkol-tongkol kayu dibuang ke darat. Bila wajah kami bertukar dari keruh berkelodak kepada wajah yang jernih, kami mula digunakan sepanjang hari untuk mandi, membasuh dan minuman. Kami dipunggah sejak dari pagi hinggalah ke petang. Saat itu kami mula dihargai.

Musim kemarau

Ketika musim kemarau juga, kami dipunggah dari sungai dan tasik. Kami dibawa ke rumah masing-masing menggunakan tong yang besar-besar, Di kawasan pertanian telaga sementara digali. Dengan menggunakan enjin kami disedut sepuas hati untuk menyiram pohon-pohon dan sayur-sayur yang sedang dahaga dan kekeringan. Itulah kisah kami pada saat manusia memerlukannya.

Kami sendiri selalu mengharapkan langit mendung. Kami sentiasa mendoakan hujan. Mudah-mudahan hujan akan mencurah lebat. Jika hujan turun dengan lebat, kami kembali segar-bugar. Kami akan menghela dan bernafas bebas. Rangkaian kami akan sambung-menyambung. Aliran kami akan merangkum menjadi lautan yang luas tanpa batas. Kami bebas dari kekangan kemarau.

Di sungai-sungai kami kian membesar. Kami kian meninggi. Kami akan melimpah tebing. Kami akan menjalar dan menular. Kami akan memenuhi dan melimpahi. Kami mungkin mengalir laju. Kami mungkin merempuh dan menghanyutkan pohon-pohon. Kami mungkin meroboh tembok dan tebing. Kami mungkin menjunam dan menenggelamkan. Kami akan membanjiri banyak kawasan-kawasan yang rendah.

Kami juga akan terjun dari gunung dan bukit. Kami menuruni lurah-lurah dengan penuh ghairah. Tidak ada kawasan yang mampu menadahi kami. Kami sebenar gagah dan kuat. Kuasa kami tidak terbatas. Kuasa kami tidak terhalang. Kami boleh menumbangkan pohon-pohon besar. Kami boleh meruntuhkan jambatan yang kukuh. Kami boleh menenggelamkan jalan-jalan dan lebuh raya. Kami akan meredah apa sahaja yang berada di hadapan tanpa belas kasihan. Ketika itu kamilah maharaja. Kamilah segala-gala. Itulahlah anugerah Tuhan kepada kami.

Kami sentiasa mengintai tempat asal kami. Kami sebenarnya mahu mencari keselesaan. Kami inginkan kehidupan dalam ketenangan tanpa kocakan dan gelombang. Kami mahu berhenti berhijrah dari satu tempat ke satu tempat. Kami tidak mahu lagi berpindah dari satu lubuk ke satu lubuk. Kami tidak mahu lagi menjadi pelarian. Kami juga adalah makhluk Tuhan. Kami inginkan segala-galanya yang dimiliki makhluk yang lain. Kami hanya meminta hak kami. Kami tidak mahu hak orang lain.

Cukuplah kami hidup di bawah jambatan kereta api ini. Suasana tidak terlalu bising. Kereta api sekadar empat lima kali sehari sahaja melintasi jambatan. Kami tidak pernah terusik. Mungkin sekali-sekala para pengail datang berkunjung. Mereka mengail haruan, keli, puyu dan bujuk. Itu sahaja mereka lakukan. Mereka tidak menganggu kehidupan kami. Kami damai di sini.

Pohon teratai

Mereka tidak menganggu pohon teratai yang sedang berbuah dan berbunga. Ikan-ikan di celah-celah akar rumput menerung terus hidup harmoni. Di tebing tasik sepuluh batang pohon sagu hidup subur. Tidak ada siapa yang datang mengerat dan menebang. Pohon-pohonnya terus subur meninggi. Kecuali setahun sekali pokoknya di tebang untuk mengambil daunnya untuk dibuat atap, serta di ambil batangnya untuk diparut. Patinya boleh dibuat makanan oleh manusia. Rasanya lemak dan boleh mengeyangkan. Manakala hampasnya tidak dibuang membazir. Ianya boleh digunakan untuk makanan itik, ayam dan serati.

Pohon mengkuang yang tumbuh sebanjar di atas tebing tasik juga jarang diganggu. Hanya sekali-sekala pembuat tikar datang mengerat daun. Tikar mengkuang yang dianyam cukup selesa untuk dibuat tempat tidur.

Saliran angin akan keluar di celah-celah anyaman. Pencari mengkuang tidak mencabut umbinya dan berakar yang menjalar ke bawah kehidupan kami. Pada umumnya mereka tidak menganggu kami.

Kami tidak mahu lagi menjadi arus yang deras. Deras meluncur seperti peluru. Kami bercantum di dalam sungai. Kami dari gunung, dari bukit turun berhimpun di sungai. Akhirnya kami membesar melimpah terbing. Kami mengalir dengan rakus. Kami menjadi lebih berkuasa merentasi bumi. Tiada halangan yang mampu bersaing dengan kami.

Kami pun melimpah. Akhirnya seluruh bumi tenggelam. Bumi menjadi lautan. Rumah kami tenggelam. Jalan juga terpaksa kami tenggelamkan. Bukit juga runtuh. Tebing benteng sungai yang dibina akan hanyut mengikut arus. Tidak ada nada lagi yang tersisa. Semua lemas tenggelam.

Ketika kami mulai surut, banyak kerosakan telah terjadi. Semua tanaman, pokok-pokok buahan, sayuran banyak yang musnah. Ternakan kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik mati berkaparan. Ramai yang mengalami kehilangan. Ramai yang mengalami kerugian. Ramai yang ditimpa penderitaan. Dan yang paling kami kesali, banyak kehilangan nyawa kerana kami. Tidak terkecuali kanak-kanak atau orang dewasa. Kami sebenarnya tidak upaya untuk berundur dari terlibat dalam malapetaka ini. Kami hanya makhluk Tuhan.

Kanak-kanak riang

Kami ingin kembali menjalani hidup seperti sedia kala. Menjadi seperti dahulu. Hidup dengan penuh ketenangan di bawah jambatan. Hidup dengan penuh sopan santun di tasik-tasik. Hidup tenang di baruh dan bendang bersama berudu, sempilai dan anak-anak ikan. Mereka bebas berenangan.

Kami ingin melihat kanak-kanak riang bermandi-manda. Mereka berada di tanah tinggi dan dahan pokok serta terjun ke tasik atau berenangan di anak sungai. Kami mahu melihat para petani menebar jala dan melontar joran untuk memancing.

Tapi sayang, malam ini tiba-tiba langit mendung dan awan berarak kehitaman. Guruh berdentum berulang kali. Kilat sambar menyambar. Bumi berubah menjadi kelam. Angin lembut di puncak gunung bertukar menjadi ribut. Itu adalah antara petanda hujan akan turun membawa kami dengan lebatnya.

Tentunya lopak dan parit-parit akan melimpah. Bendang padi yang kontang akan bertukar menjadi lautan. Mampukah kami bersembunyi? Mampukah kami menolak terjahan kawan-kawan kami yang turun dari gunung?

Terjahan mereka maha perkasa. Tajam menjunam merempuh batu-batu. Batu-batu akan berserakan. Itu adalah bencana alam.

Ketika ini kesemua ciptaan manusia di muka bumi akan kami rempuh. Lebuh raya yang dibina dengan kos berjuta-juta pun akan retak dan pecah berselerak. Stadium tempat manusia bersorak melihat bola sepak dan pesta nyanyian pun kami masuk dan menyelinap ke setiap ruang. Tapak stadium ini dahulu adalah rumah kami. Rumah kami yang dirampas. Rumah kami yang ditimbus bertahun-tahun. Beratus ribu lori tanah diangkut dari bukit.

Entah ke mana kawan kami melarikan diri.

Izinkan malam ini, kami bermalam di sini untuk seketika. Kami juga makhluk Tuhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×