PETALING JAYA: Sebanyak 1,065 usahawan wanita menerima manfaat melalui bantuan kewangan berjumlah RM22.6 juta daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun 2023.
SME Corp berkata, jumlah tersebut merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan 2,708 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerima manfaat daripada program pembangunan PMKS yang dilaksanakan agensi tersebut dengan nilai bantuan berjumlah RM92.6 juta.
Katanya, pencapaian tersebut berjaya melepasi sasaran awal yang ditetapkan SME Corp bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat adalah dari kalangan usahawan wanita.
“Antara program yang banyak memberi manfaat kepada usahawan wanita adalah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) iaitu seramai 548 peserta atau 48 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,142 peserta terdiri daripada usahawan wanita dengan bantuan bernilai RM1.7 juta.
“SME Corp juga telah membantu usahawan wanita melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang bertujuan menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan.
“Daripada 555 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM10 juta, separuh daripadanya adalah belia wanita iaitu seramai 280 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM4.3 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
SME Corp berkata, Program Pengukuhan Eksport PMKS yang bertujuan meningkatkan keupayaan pra-eksport PMKS serta menambah bilangan PMKS yang berpotensi menembusi pasaran global juga dimanfaatkan 121 PMKS milikan wanita dengan mendapat kelulusan berjumlah RM3.3 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, SME Corp kekal komited untuk membantu usahawan wanita dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat bagi inisiatif dan program-program yang dilaksanakan adalah usahawan wanita.
“Bagi 2024, sebanyak RM134.6 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program.
“Kami mensasarkan lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun ini termasuk usahawan wanita, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang lebih saksama, inklusif dan mampan,” ujarnya.-UTUSAN










