Nestle Malaysia mula operasi loji janakuasa biojisim - Utusan Malaysia

Nestle Malaysia mula operasi loji janakuasa biojisim

AMINUDDIN Harun (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Biojisim Kilang Nestle Malaysia di Chembong, Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Syarikat Nestle Malaysia telah memulakan operasi loji janakuasa biojisim di kompleks kilang perindustriannya di Chembong, di sini, sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon serta mencapai kelestarian alam sekitar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Enco System Sdn. Bhd bagi membangun dan memasang loji serba lengkap tersebut yang bernilai RM18 juta.

Menurutnya, loji berkenaan telah memulakan operasi pada akhir tahun lalu dan menggunakan tandan buah sawit kosong dan isirung sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Bahan tersebut menggantikan bahan api fosil untuk menjaga stim yang digunakan untuk proses pemanasan dalam operasi pengeluaran dan pendekatan itu dapat membantu mengurangkan gas rumah hijau.

“Loji berkenaan akan mengurangkan emisi gas rumah hijau kilang dengan ketara iaitu sekitar 14,000 tan karbon dioksida setara setahun iaitu bersamaan pelepasan karbon hampir 3,000 kereta dalam tempoh yang sama. 

“Ini secara langsung akan mengurangkan pencemaran, bahan buangan ke kambusan tanah dan melindungi sumber semula jadi yang berharga,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Biojisim Kilang Nestle Malaysia di Kilang Nestle Chembong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sewaktu merasmikan pelancaran loji janakuasa tersebut berkata, kerajaan menggalakkan kewujudan industri yang menggunakan teknologi hijau seumpama itu yang secara tidak langsung negeri akan dilihat sebagai pusat perindustrian yang inovatif dan lestari.

Menurutnya, sekiranya lebih banyak industri bertukar kepada penggunaan teknologi tenaga hijau seperti usaha pihak Nestle Malaysia maka kewujudan kawasan-kawasan industri selepas ini tidak akan menjadi beban kepada alam sekitar pada masa akan datang. 

“Kerajaan Negeri Sembilan juga sentiasa mengambil tindakan proaktif dengan memastikan segala perubahan dan perkembangan dalam sektor industri perlu dikenal pasti bagi menentukan dasar yang terbaik untuk manfaat rakyat negeri ini. 

“Jika pihak Nestle membangun sebuah loji janakuasa biojisim yang dianggap terbukti dan dapat memberikan kesan yang baik kepada alam sekitar semestinya pihak kerajaan akan memastikan segala polisi dan dasar yang akan datang akan selari dengan kesan kelestarian alam sekitar,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN