SEREMBAN: Demi mencari sesuap nasi, sepasang suami isteri cekal dan tanpa lelah menjual kerepek serta perlu berulang alik sejauh lebih 60 kilometer sehari dari Bagan Lalang, Selangor ke Nilai dekat sini.
Lebih mengundang kesedihan apabila kedua-duanya pula menghidap pelbagai jenis penyakit kronik dan sehingga kini masih mendapat rawatan susulan.
Begitulah keadaan dilalui Mohamad Fackri Mohamad Diah 39, bersama isteri kesayangannya, yang buta kedua-dua belah mata, Maizura Shahadan, 37.
Mohd. Fackri berkata, cuma kerja menjual kerepek sahaja mampu dia lakukan ketika ini selagi mempunyai kudrat selepas berhenti kerja sebagai pemandu lori kerana menghidap sakit jantung.
“Kalau saya dan isteri duduk rumah sahaja, mungkin akan bertambah sakit, jadi inilah jalan keluar untuk saya tidak memikirkan langsung mengenai penyakit dihadapi.
“Isteri saya pula menghidapi empat penyakit kronik seperti kencing manis, buah pinggang tahap lima, tibi kelenjar dan terbaharu kanser ovari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke menerusi akan bank Public Bank bernombor 4608184435 atas nama Mohamad Fackri Mohamad Diah atau boleh hubungi dirinya di nombor 012-344 8582. – UTUSAN











