PM mahu FELDA, LTAT sedia laporan penuh dalam masa dua minggu

PM mahu FELDA, LTAT sedia laporan penuh dalam masa dua minggu

ANWAR Ibrahim ketika menunaikan solat jumaat di Surau IPD Putrajaya. - UTUSAN/FAIZOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyerahkan laporan penuh dalam masa dua minggu susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, notis mengenai perkara itu sudah diserahkan kepada agensi berkenaan.

“Saya minta laporan itu. Kita beri mereka (FELDA dan LTAT) sekurang-kurangnya dua minggu untuk sediakan laporan penuh sebelum dipertimbangkan Kabinet.

“Kita bagi notis supaya ada penjelasan, keterangan penuh daripada LTAT walaupun perkara ini daripada LKAN 2022.

“Kita nak tentukan ada laporan lengkap supaya beberapa kelemahan diperbaiki dan ada apa-apa yang terlibat, yang agak kurang baik, terpaksa kita ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Amaniah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada perlu ada jawatankuasa khas bagi menyiasat kerugian dialami dua entiti berkenaan, Anwar berkata, buat masa ini, beliau perlu teliti laporan berkenaan terlebih dahulu.

“Kemudian kita beri peluang kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk mengemukakan penjelasan.

“Apa yang penting ialah kita perlu stop the root (hentikan pereputan), kekurangan dan kelemahan,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini mendedahkan FELDA mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion.

Menerusi laporan penyata kewangan Agensi Persekutuan 2022, FELDA didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai yang rendah berbanding kerugian dengan nilai RM0.808 bilion berakhir 31 Disember tahun 2022.

Laporan sama mendedahkan LTAT menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada tahun 2022.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama lebih 100 jemaah terdiri daripada anggota dan pegawai polis serta penduduk sekitar di Surau Amaniah IPD Putrajaya di sini.

Beliau diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa menikmati jamuan tengah hari di surau berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×