OPR kekal 3.00 peratus

OPR kekal 3.00 peratus

OPR semasa berada pada 3.0 peratus sejak dinaikkan kali terakhir pada Mei 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada mesyuarat semalam.

Bank pusat berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan. 

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong oleh permintaan dalam negeri berikutan aktiviti perdagangan yang bertambah baik.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka bertambah baik manakala pertumbuhan China mungkin kekal sederhana berikutan pasaran harta tanah yang terus lemah.

Perdagangan global dijangka kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik. 

“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini dengan pelonggaran monetari di beberapa negara mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, BNM berkata, pendirian dasar monetari global dijangka kekal ketat pada tempoh terdekat, dengan inflasi terus berada pada paras melebihi purata.

“Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.7% pada tahun 2023. Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun 2024, didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak bulan Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh,” jelasnya.

Walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, bank pusat berkata, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama. 

“Kerajaan dan BNM sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit. 

“Langkah ini akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh. 

Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×