SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 54 tahun ditahan kerana didakwa mencuri wang tunai bernilai 107,000 dolar Singapura (RM376,542) dari beg seorang penumpang di dalam pesawat.
Lapor The Straits Times, polis menerusi kenyataan memaklumkan kejadian itu berlaku semasa dalam penerbangan dari Hong Kong ke Singapura pada 5 Mac lalu.
Menurut polis, mangsa menyedari wangnya hilang dari beg selepas penumpang itu turun dari pesawat di Lapangan Terbang Changi.
Jelas polis, berdasarkan siasatan awal, mangsa meletakkan beg miliknya di ruang bagasi dalam pesawat namun tidak melihat sebarang individu mencurigakan yang menyelongkar begnya.
Pegawai dari Jabatan Polis Lapangan Terbang memeriksa rekod penerbangan dan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Komersial untuk mengenal pasti identiti suspek.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu membuat empat transaksi pengiriman wang berjumlah 37,897.70 dolar Singapura (RM133,365.43) yang dipercayai sebahagian wang tunai dicuri di People’s Park Complex,” katanya.
Polis berjaya menghalang pemindahan wang itu dan menahan suspek pada hari yang sama.
Lelaki itu didapati memiliki wang tunai berjumlah 79,662.83 dolar Singapura (RM280,340.69) dalam pelbagai denominasi dan mata wang.
Lelaki itu akan didakwa di mahkamah atas tuduhan mencuri.
Jika didapati bersalah, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Polis menasihatkan pengembara supaya menyimpan wang tunai dan barang berharga mereka daripada meninggalkan di ruang bagasi di dalam pesawat.










