Penutupan Goodyear petunjuk tekanan ekonomi global meresap

Penutupan Goodyear petunjuk tekanan ekonomi global meresap ke domestik

KILANG Goodyear di Shah Alam, Selangor antara empat syarikat multinasional yang ditutup pada separuh pertama 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penutupan kilang pengeluar tayar ternama, Goodyear di negara ini setelah 52 tahun beroperasi menunjukkan tekanan dalam ekonomi global sudah mula memberi kesan terhadap ekonomi domestik di negara ini, kata penganalisis.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sama seperti syarikat multinasional lain, Goodyear yang mempunyai operasi di pelbagai negara perlu menyusun semula strategi bagi menyelamatkan perniagaan mereka.

Katanya, penutupan ini mungkin memberi kesan domino bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga pada rantaian ekonomi yang berkaitan dengan syarikat tersebut seperti vendor tempatan.

“Bagi pekerja mungkin mereka akan mendapat pampasan yang baik, tetapi bagi vendor tempatan contohnya yang menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan mereka yang menyediakan perkhidmatan kepada pekerja mungkin terkesan dengan penutupan ini.

“Selain daripada itu, apakah nasib keluarga pekerja-pekerja syarikat itu yang bergantung kepada mereka selama ini?

“Kita akan melihat kes-kes seperti ini akan berlarutan kepada kilang-kilang lain bukan hanya di Malaysia, tapi juga di seluruh dunia sekiranya ekonomi global terus perlahan dan meleset seperti yang kita pernah lalui pada 1998 dan 2000,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, cukai korporat di negara ini masih kompetitif pada 24 peratus, rendah dari Indonesia namun lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Singapura pada 17 peratus serta Thailand dan Filipina yang lebih rendah dari Malaysia.

“Bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI), kita tidak boleh gunakan pendekatan ‘one-size-fits-all’ sebaliknya dibentuk mengikut kehendak dan keperluan sesebuah syarikat itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, penutupan kilang tersebut boleh meningkatkan jumlah orang yang menganggur jika mereka tidak mendapat pekerjaan baharu di tempat lain. 

Beliau berkata, sebagai alternatif, mereka yang terkesan mungkin terpaksa menjalankan perniagaan sendiri atau memasuki ekonomi gig.

“(Cukai) Tidak semestinya menjadi punca, tetapi mungkin juga ada kaitan seperti kenaikan cukai perkhidmatan dan cukai nilai barangan tinggi.

“Mungkin kerajaan perlu memikirkan inisiatif baharu atau memperbaiki inisiatif sedia ada supaya pelabur rasa berbaloi melabur di Malaysia. Kerajaan juga perlu kaji semula cukai-cukai baharu yang sedang dan bakal dikenakan supaya pendapatan pelabur tidak teruk terjejas,” jelasnya.

Semalam, Goodyear dilaporkan bakal menutup operasi kilang di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun depan, sekali gus memberi kesan kepada 550 pekerjanya di negara ini.

Menurut Presiden GoodYear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang, tindakan itu adalah salah satu langkah dalam program transformasi Goodyear Forward yang direka untuk mengoptimumkan operasi syarikat.

Jelasnya, program ini termasuk tindakan khusus untuk mengurangkan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025, bagi memastikan Goodyear kekal berdaya saing dan berada di kedudukan sebagai peneraju industri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×