BAITULMUQADDIS: Program Makanan Sedunia (WFP) mendedahkan bahawa konvoi bantuan makanan 14 trak pertamanya sejak ia menghentikan penghantaran ke utara Gaza pada 20 Februari lalu ditolak oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) selepas menunggu tiga jam di pusat pemeriksaan Wadi Gaza.
Lapor portal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Timbalan Pengarah Eksekutif WFP, Carl Skau berkata, walaupun konvoi tidak sampai ke utara untuk menyediakan makanan kepada orang yang kelaparan, WFP terus meneroka setiap cara yang mungkin untuk berbuat demikian.
KONVOI BANTUAN DIHENTIKAN
Selepas ditolak, konvoi itu dialihkan dan kemudiannya dihentikan oleh sekumpulan besar orang yang terdesak yang merompak makanan, mengambil kira-kira 200 tan daripada trak.
Agensi itu juga menegaskan bahawa laluan jalan raya adalah satu-satunya pilihan untuk mengangkut kuantiti makanan yang besar yang diperlukan untuk mengelak kebuluran di utara Gaza.
ENAM TAN MAKANAN DIGUGURKAN
Selasa lalu dengan bantuan Tentera Udara Diraja Jordan, enam tan bekalan makanan WFP untuk kira-kira 20,000 orang digugurkan dari udara untuk orang awam yang terselamat di utara Gaza.
“Jatuhan barangan dari udara adalah pilihan terakhir dan tidak akan mengelakkan kebuluran. Kami memerlukan pintu masuk ke utara Gaza yang membolehkan kami menghantar makanan yang mencukupi untuk setengah juta orang yang sangat memerlukan,” jelas Skau.
WFP seterusnya memberi amaran bahawa kelaparan mencapai tahap bencana di utara Gaza di mana kanak-kanak mati akibat penyakit yang berkaitan dengan kelaparan dan mengalami tahap kekurangan zat makanan yang teruk.
Operasi bantuan besar-besaran memerlukan lebih banyak pintu masuk ke Gaza termasuk dari utara dan penggunaan pelabuhan Ashdod Israel, katanya, mengulangi keperluan gencatan senjata segera untuk membolehkan operasi sedemikian.
Keadaan yangamat mencabar
Jurucakap PBB, Stéphane Dujarric berkata, kakitangan kemanusiaan yang bekerja melibatkan air, sanitasi dan kebersihan di kawasan terkepung itu melaporkan keadaan yang sangat mencabar di tengah-tengah tahap perpindahan yang tinggi dan kesesakan di tempat perlindungan.
BERKONGSI TANDA, PANCURAN MANDI
Dujarric berkata, menurut penilaian terbaharu mereka, kira-kira 340 orang berkongsi satu tandas dan terdapat satu pancuran mandian untuk kira-kira 1,300 orang secara purata dan lebih 80 peratus isi rumah di Gaza kekurangan air yang selamat dan bersih.
Sebagai tindak balas, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menyediakan bahan api untuk mengendalikan telaga air awam dan swasta serta loji penyahgaraman.
Dujarric berkata, agensi itu juga menghantar lebih daripada 50 kit kesihatan kecemasan untuk lebih daripada setengah juta orang dan kit bayi baru lahir yang mencukupi untuk 8,700 bayi baru lahir.
WHO BERJAYA AKSES KE HOSPITAL
Dalam perkembangan lain, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) PBB untuk Palestin, Dr. Rik Peeperkorn berkata, WHO dan rakan kongsi berjaya mengakses Hospital Shifa di utara Gaza dan menghantar bahan api, beberapa bekalan menyelamatkan nyawa untuk 150 pesakit dan rawatan 50 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk selain turut membawa vaksin.
Buat pertama kali sejak 7 Oktober lalu, katanya, misi WHO juga sampai ke hospital Kamal Adwan lebih jauh ke utara.
Peepeerkorn berkata, kemudahan unit pediatrik itu adalah di mana tempat 10 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kelaparan dan dehidrasi sejak kebelakangan ini
Namun, katanya, keadaan di Hospital Al-Awda mengerikan dan dia berkata pihaknya membuat rayuan segera supaya hospital berkenaan diberi akses kemanusiaan yang berterusan.
“Mekanisme nyah konflik perlu terus berfungsi supaya bantuan dapat sampai kepada mereka yang memerlukan,” tegas pakar perubatan WHO merujuk protokol di mana pejuang dimaklumkan terlebih dahulu mengenai lokasi bantuan.










