TIBANYA bulan Ramadan, hidangan seperti ayam percik, martabak dan bubur lambuk sering menjadi pilihan orang ramai sebagai juadah berbuka puasa malah ia juga mudah didapati di bazar-bazar Ramadan.
Namun, sekiranya ada yang mahu menukar selera dan ingin mencuba sesuatu yang istimewa, bolehlah berkunjung ke hotel bertaraf empat bintang di tengah bandar Seremban iaitu Royale Chulan Seremban.
Sepanjang Ramadan nanti, hotel berkenaan tidak ketinggalan menawarkan hidangan menyelerakan termasuk bakal menampilkan menu istimewanya iaitu asam pedas ekor.
Selain hidangan tersebut, menu pilihan dan cukup terkenal di Negeri Sembilan iaitu masak lemak daging salai turut disajikan bersama lebih daripada 150 juadah berbuka puasa yang enak dan melazatkan hasil sentuhan Cef Eksekutif, Suresh Mathavan bersama Sous Cef, Azreen Shah Ab. Rahman.

Pengurus Besar Hotel, Abdul Rahman Ahmad berkata, meneruskan tradisi tahunan, hotel tersebut menjemput orang ramai untuk sama-sama menikmati juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan di Asiatique bermula pada 12 Mac hingga 9 April 2024.
“Bertemakan ‘Warnarasa’, setiap minggu kami menampilkan hidangan berbeza daripada hidangan berat sehingga pemanis mulut yang pastinya akan memberikan pengalaman yang terbaik buat pengunjung.
“Dengan kepelbagaian menu berbuka puasa tersebut, dijangka kami dapat melayani lebih daripada 400 pengunjung pada setiap hari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
ASAM PEDAS
Cef Azreen Shah berkata, hidangan istimewa bagi peminat asam pedas iaitu asam pedas ekor pastinya akan membuka selera pengunjung dan hidangan itu hanya boleh dirasai di Royale Chulan Seremban.
“Jangan lepaskan peluang merasai sendiri hidangan berbuka puasa yang dijamin tidak akan mengecewakan,” katanya yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam dunia masakan.

Dalam pada itu, katanya, pelanggan juga dapat merasai kepelbagaian menu halal termasuk masakan kampung, barat, makanan tradisi dan kuih-muih.
Menu lain yang pasti menambat selera termasuklah rendang pucuk ubi, kerabu pegaga, sambal tempoyak, bubur lambuk, tom yam, daging salai lemak mangga muda, kambing kurma, gulai kawah asam pedas, ayam percik, udang goreng kunyit, ayam biryani dan ikan masin
masak nenas.
Turut disediakan 11 gerai makanan menampilkan kepelbagaian hidangan seperti martabak ayam, daging, pasembor, pisang goreng, nasi briyani, dim sum, apam balik, roti john, Penang char kuetiau, buah-buahan, dan air batu campur.
Sudah semestinya, tidak ketinggalan stesen barbeku yang akan menjadi pilihan ramai dengan menghidangkan hidangan kambing panggang, sotong, kepah ayam, sate dan ikan panggang dengan disertakan sekali air asam, serta sos barbeku yang enak.
Dalam pada itu, peminat masakan Melayu juga tidak akan kecewa dengan kepelbagaian jenis ulamulaman dan sambal seperti sambal belacan, sambal gesek, sambal mangga, cili kicap, budu dan cencaluk.
Sebagai langkah promosi, Royale Chulan Seremban turut memawarkan baucarm RM100 bufet Ramadan untuk pembelian sebelum 10 Mac 2024.










