JERANTUT: Seorang peniaga pisang goreng dan keropok terkejut melihat keadaan gerainya yang musnah dipercayai dirempuh gajah liar di persimpangan masuk ke Kampung Kuala Sat, berdekatan jalan raya antara Kuala Tahan ke Kuala Sat, Ulu Tembeling di sini hari ini.
Peniaga, Norhayati Muhammad, 48 berkata, dia dimaklumkan oleh seorang penduduk pada pagi hari ini dan bergegas ke gerai makanan kira-kira dua kilometer dari kediamannya di Kampung Kuala Sat untuk melihat kejadian tersebut.
“Setiba saya di di tempat kejadian, saya terkejut apabila melihat keseluruhan gerai kayu musnah, cuma tinggal bumbung sahaja apabila dilanggar kawanan gajah liar.
“Selain merosakkan gerai, gajah liar turut meninggalkan ketulan najis di persekitaran kawasan dan juga di tepi jalan raya masuk ke kampung ini,” katanya di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di sini hari ini.
Menurut Norhayati, kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 1 hingga 3 pagi hari ini kerana waktu berkenaan cukup sinonim serta kebiasaannya haiwan liar itu keluar mencari makanan berdekatan jalan raya dan kadang-kadang menceroboh tanaman penduduk di kampung tersebut.
“Bukan sahaja gerai ini musnah malah peralatan memasak seperti kuali, pinggan, minyak masak, senduk dan bekas air turut rosak apabila dipijak gajah liar.
“Bagaimana nanti saya hendak berniaga selepas ini kerana gerai kayu ini sudah musnah dan akan mengambil masa untuk membinanya semula,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan ujian itu dan bertekad membina semula gerai di situ untuk menjual pisang goreng, keropok serta minuman kerana ia laris ketika musim cuti persekolahan apabila ramai pelancong melawat Kampung Kuala Sat dan perkampungan lain di Ulu Tembeling.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Diman berkata, aktiviti gajah liar keluar mencari makanan pada waktu malam merupakan lumrah bagi penduduk di situ.
“Kawanan gajah liar dipercayai lebih 10 ekor yang pernah saya temui sememangnya menjadikan tempat tinggal di pinggir hutan berdekatan Kampung Pagi-Bukit Awan-Kampung Kuala Sat kerana di situ merupakan kawasan rayau haiwan liar memperoleh makanan setiap masa.
“Gangguan melibatkan kerosakan gerai makanan awal pagi hari ini dan juga kerap berlaku pencerobohan kawasan tanaman sebelum ini kerana habitat asal haiwan liar di hutan Ulu Tembeling sudah diteroka sejak 20 tahun lalu,” katanya. – UTUSAN










