IPOH: Perak FC mendapat khidmat dua pemain import baharu bagi memperkukuh kemampuan pasukan dalam saingan Liga-M musim ini.
Pengerusi kelab, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, kedua-dua pemain iaitu Lee Tae Min dan Luiz Motta, masing-masing dari Korea Selatan dan Brazil.
“Mereka diikat selepas lulus pemeriksaan kesihatan, ” katanya.
Menurut Mohd Azim, Tae Min seorang pemain sayap berusia 21 tahun manakala Motta, 27, pemain pertahanan tengah.
Kedua-dua pemain sudah berada di Ipoh selama seminggu untuk menjalani pemeriksaan.
“Harap mereka akan memberi nilai tambahan kepada pasukan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua pemain mengikat kontrak selama satu tahun .
Dengan kehadiran dua pemain baharu itu, Perak akan menggunakan khidmat tujuh pemain import musim ini.
Terdahulu, skuad Bos Gaurus mempunyai khidmat Sunday Afolabi, Luka Milunovic, Jasper Nyholm dan Luciano Guaycochea serta kapten skuad Bawah 23 Tahun Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov. – UTUSAN











