Ujian emosi bantu atasi masalah guru

Ujian emosi bantu atasi masalah guru

AZMAN Adnan (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan selepas menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ujian kesejahteraan emosi guru adalah antara pendekatan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh guru dalam mendepani dinamik perubahan dalam bidang pendidikan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, daripada dapatan ujian itu, pihaknya akan mengenal pasti proses intervensi yang perlu dilaksanakan untuk mereka dari semasa ke semasa melalui pendekatan secara dalam talian dan bersemuka.

Selain itu, kata beliau, guru-guru juga diberikan latihan secara berterusan yang merangkumi pelbagai aspek dalam mendepani bidang pendidikan yang berubah.

Memuatkan artikel berkaitan…

BERSARA

Menurutnya, walaupun bilangan guru yang bersara awal sepanjang tahun lalu hanya 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan lebih 400,000 guru, KPM tetap peka dalam menjaga kebajikan golongan tersebut.

“Bilangan yang bersara itu tidak ramai, lebih kurang 1.4 peratus, tetapi yang tak ramai ini lah kita akan terus perkukuhkan supaya keberadaan mereka dalam profesion perguruan akan semakin bertambah baik.

“Apa yang kita laksanakan ketika ini adalah kita sentiasa memberikan latihan kepada guru-guru dalam pelbagai aspek supaya ke­sediaan mereka dari segi sosioemosi dan kemahiran yang berkaitan dengan perkembangan ledakan teknologi semasa akan bertambah baik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 di sini semalam.

Beliau mengulas perancangan KPM dalam menyelesaikan isu guru bersara awal disebabkan bebanan kerja yang meningkat dan juga sistem pendigitalan secara dalam talian yang tidak mampu dikuasai oleh guru lama.

Pada 29 Februari lalu, media melaporkan sebanyak 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru diluluskan untuk bersara pilihan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, berdasarkan rekod, jumlah itu menunjukkan peningkatan sedikit berbanding tahun sebelumnya, iaitu 5,306 atau 1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan guru.

Sementara itu, Azman berkata, enam pasukan petugas khas diwujudkan dalam memperkasakan haluan pendidikan negara tahun ini bagi memastikan hasil yang berkualiti dapat dicapai.

Bidang yang terlibat ialah Prasekolah; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Intervensi Kurikulum; Pendidikan Digital ; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)

“KPM sentiasa memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan bahawa tidak ada seorang pun anak warganegara Malaysia yang tercicir dari arus pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini