Harga barang masih terkawal, cadang teruskan Jualan Rahmah

Harga barang masih terkawal, cadang teruskan Jualan Rahmah

Kerajaan bercadang meneruskan Jualan Rahmah sekurang-kurangnya minimum dua bulan di setiap kawasan Parlimen yang telah bermula sejak Januari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 2,239 premis perniagaan diperiksa dan 66 notis dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Da­lam Negeri sejak kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan kepada lapan peratus.

Timbalan Menteri Perdaga­ngan dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, premis ber­kenaan perlu menjawab terhadap notis yang dikeluarkan dalam tempoh empat hari.
“Mereka perlu menjawab sama ada dari segi kos untuk kita melihat kenaikan kos barangan yang tidak munasabah,” katanya.

Mulai 1 Mac lalu, cukai SST dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini bagaimanapun ia merangkumi perkhidmatan makanan, minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Selain itu, Fuziah berkata, Jualan Rahmah akan diteruskan sekurang-kurangnya minimum dua bulan di setiap kawasan Parlimen yang telah bermula sejak Januari.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan kenaikan harga disebabkan peningkatan kadar SST.

Namun, pihaknya akan terus melakukan aktiviti pemantauan harga dan menyalurkan aduan kepada pihak penguatkuasa KPDN.

Mengulas lanjut Sukhdave berkata, tindakan tegas perlu diambil KPDN sekiranya peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati.

Katanya, tindakan tegas harus diambil sekiranya peniaga menaikkan harga sesuka hati dan ia adalah bidang kuasa kementerian di bawah Akta Anti Pencatutan yang mengawal isu harga.

“Dalam perkara ini setiap peng­guna harus menyalurkan aduan secara terus kepada KPDN. Ini adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya menyalahkan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Lem­baga Perlindungan dan Kebaji­kan Pengguna Malaysia (LPKPM) Prof. Dr. Lee Nan Sang berkata, setakat ini tiada sebarang laporan berkenaan kenaikan yang terlalu tinggi.

“Kenaikan harga masih ter­kawal dan masih tiada laporan atau aduan kenaikan harga yang berlebihan. Walaubagaimanapun, KPDN perlu mengarahkan penguatkuasa untuk memantau walaupun pada peringkat permulaan pelaksanaan SST,” katanya.

Nan Sang berkata, KPDN juga perlu sentiasa sensitif dan peka dengan isu harga barangan di pasaran bagi mengelak tambahan beban kos sara hidup ra­k­yat.

“Pelbagai perancangan harus diambil untuk meringankan beban rakyat terutamanya beban saraan hidup harian. Jualan Rahmah atau Jualan Madani perlu diadakan sepanjang Ramadan agar pengguna dapat membeli barangan keperluan mereka dengan harga yang lebih murah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×