Naib Presiden AS, Kamala Harris gesa segerakan gencatan senjata di Gaza

Naib Presiden AS, Kamala Harris gesa segerakan gencatan senjata di Gaza

ORANG ramai yang menyokong Palestin mengambil bahagian dalam ‘March for Gaza’ di Washington, Amerika Syarikat pada 2 Mac lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris menggesa gencatan senjata dilakukan segera di Gaza sebagai meningkatkan tekanan ke atas Israel ketika pertempuran dilaporkan terus mengganas di wilayah Palestin.

Gesaan Harris yang paling kuat setakat ini mewakili seorang pegawai pentadbiran AS, dibuat ketika Washington mengetuai desakan untuk mengadakan gencatan senjata sebelum Ramadan yang akan bermula kira-kira satu minggu lagi.

AS, QATAR, HAMAS DI KAHERAH

Wakil dari AS, Qatar dan Hamas kini berada di Kaherah untuk pusingan terbaharu rundingan mengenai cadangan untuk menghentikan perang yang sudah berlangsung selama lima bulan itu.

Menurut seorang pegawai kanan AS, Israel secara meluas menerima syarat-syarat tersebut yang akan menyaksikan peningkatan penghantaran bantuan dan pertukaran tebusan untuk tahanan Palestin.

Beberapa perkara penting dilaporkan kekal termasuk desakan Hamas supaya tentera Israel berundur sepenuhnya dari wilayah yang musnah itu.

“Hamas mendakwa ia mahu gencatan senjata. Nah, ada perjanjian di atas meja,” kata Harris.

BUKA LEBIH BANYAK SEKATAN

Dengan nada yang luar biasa tajam, dia menuntut Israel membuka lebih banyak sekatan bagi meningkatkan aliran bantuan ke Gaza di mana ramai kelaparan dan keadaannya di luar perikemanusiaan.

“Memandangkan skala penderitaan yang besar di Gaza, mesti ada gencatan senjata segera,” ujarnya.

Tekanan untuk gencatan senjata meningkat selepas percubaan penghantaran bantuan disekat dalam beberapa adegan tragedi dan konvoi bantuan gagal mencapai keluarga Palestin yang kelaparan di utara Gaza.

AS HANTAR BANTUAN

Selepas amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang kebuluran di Gaza, AS mula menghantar catuan makanan pada Sabtu lalu, mengikut langkah Jordan dan beberapa negara lain.

“Adalah mustahak untuk kami meluaskan aliran bantuan ke Gaza untuk mengurangkan keadaan kemanusiaan yang teruk,” tulis Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di platform media sosial X.

Harris dan Blinken kedua-duanya dijadualkan bertemu dengan anggota Kabinet perang Israel, Benny Gantz di Washington semalam.

Bekas ketua tentera Israel itu, seorang yang berhaluan tengah dan saingan lama Presiden Israel, Benjamin Netanyahu juga akan bertemu dengan penasihat keselamatan negara White House, Jake Sullivan.

Seorang pegawai White House berkata, perbincangan itu termasuk keperluan untuk perjanjian tebusan, gencatan senjata sementara dan meluaskan aliran bantuan ke Gaza.

SERANGAN TIDAK BERKESUDAHAN

Di sebalik desakan terbaharu untuk menghentikan pertempuran yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel, tidak ada kesudahan serangan berlaku di Gaza.

Kelmarin, seorang wartawan AFP melaporkan beberapa serangan udara di selatan Gaza, Rafah dan Khan Younis.

Terdahulu, dua daripada mangsa terbaru, bayi kembar Naeem dan Wissam Abu Anza, dikebumikan ketika ibu mereka, Rania menangis kesakitan.

Seorang saudara, Shehda Abu Anza, berkata, hanya orang awam berada di dalam rumah ketika ia dibom, membunuh 14 orang dalam satu keluarga.

“Kesemua mereka sedang tidur apabila tiba-tiba peluru berpandu melanda dan memusnahkan seluruh rumah,” katanya kepada AFP ketika penduduk menggeledah runtuhan dengan tangan kosong untuk mencari mayat.

Bayi itu adalah antara 30,410 orang yang maut, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan untuk menghapuskan Hamas Oktober lalu. -AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×