PETALING JAYA: CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. (CGS MY) melantik dua ahli lembaga baharu iaitu Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 28 Februari 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Azizah Mohd. Yatim berkata, pihaknya mengalu-alukan Shahril Ridza dan Khairy bagi mengamalkan amalan terbaik tatakelakuan korporat walaupun tidak wajib untuk melantik pengarah bebas ke Lembaga.
“CGS MY memilih mengamalkan amalan seperti disyorkan dalam Kod Tatakelakuan Korporat Malaysia sebagai tanda komitmen terhadap piawaian korporat yang tertinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, CGS MY memiliki peluang pertumbuhan baharu dan dapat mengambil manfaat daripada kelayakan, kepakaran dan rangkaian individu yang dihormati itu untuk mengukuhkan kecekapan syarikat.
“CGS MY yakin kepelbagaian yang digabungkan dalam Lembaga akan mencipta kepimpinan yang kukuh dan terhubung dengan baik, sekali gus membawa syarikat ke arah visi untuk menjadi bank pelaburan kelas dunia dan terkemuka di Asia,” katanya.
Shahril Ridza mempunyai latar belakang profesional selama tiga dekad di syarikat awam dan swasta merangkumi pelbagai industri dari perundangan hingga pengurusan dana.
Beliau pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad dan Malaysian Resources Corporation Berhad.
Pada masa ini, Shahril Ridza berada dalam lembaga pengarah Axiata Group Berhad, Ekuiti Nasional Berhad, Pengurusan Danaharta Nasional dan Kuala Lumpur Kepong Berhad.
Sementara itu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan menghabiskan dua dekad terakhir di sektor awam dan swasta, menimba pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, perundangan
perwakilan, penyelidikan dasar, kewangan, kepimpinan tentera dan politik parti.
Selain Menteri Kesihatan, beliau turut memegang jawatan penting kerajaan di Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi serta Kementerian Belia dan Sukan.
Beliau juga mengasaskan dan mempengerusikan kumpulan pemikir yang dipanggil The Centre dan merupakan Pengarah Perbankan Pelaburan di ECM Libra Avenue Securities. – UTUSAN











