DAP parti politik, bukan bangsa - KJ

DAP parti politik, bukan bangsa – KJ

KHAIRY Jamaluddin ketika dialog “The Nasi Lemak Economy” CTOS SME Biz Day di Hotel One World, Petaling Jaya. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan DAP merupakan sebuah parti politik dan bukannya bangsa, susulan polemik berhubung kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai pendiriannya terhadap parti itu.

Menurut Khairy, sebarang perbezaan pandangan atau penolakan terhadap DAP perlu dilihat dalam konteks politik, bukannya dikaitkan dengan sentimen perkauman.

“DAP bukanlah bangsa. Sejak bila pula DAP itu adalah bangsa? DAP adalah parti politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program CTOS SME Biz Day di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Onn Hafiz yang sebelum ini menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP di Johor, malah sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya kerjasama sedemikian berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahad lalu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, realiti politik Johor berbeza berbanding di peringkat Persekutuan kerana BN, khususnya UMNO negeri tidak pernah menjalin kerjasama dengan DAP sepanjang sejarah politik negeri itu.

Menteri Besar Johor itu turut menegaskan bahawa pendiriannya dibuat berdasarkan prinsip dan mandat yang diberikan rakyat Johor kepada BN.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, kenyataannya tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bersifat perkauman atau ditujukan kepada masyarakat bukan Melayu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan pendirian tersebut merujuk kepada hubungan politik antara parti dan bukannya melibatkan mana-mana kaum atau kelompok masyarakat.

Menurut beliau, BN Johor tidak pernah bekerjasama dengan DAP sejak dahulu dan pendirian itu akan terus dipertahankan pada masa depan.

Kenyataan Onn Hafiz itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik susulan kerjasama antara UMNO dan DAP yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN