GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan segera mengharamkan penjualan vape, e-rokok dan cecair vape memandangkan generasi baharu perokok dan penghisap vape dalam kalangan pelajar kini semakin meningkat.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata, berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati bilangan generasi muda yang terjebak dengan tabiat menghisap vape dan e-rokok meningkat sebanyak tiga kali ganda.
“Beberapa guru mengakui bahawa ketagihan nikotin berpunca daripada tabiat penghisap vape dalam kalangan murid di sekolah rendah dan pelajar di peringkat menengah mula meningkat.
“Sebagai contoh, sekurang-kurangnya pada masa ini, terdapat tiga atau empat pelajar perempuan yang ketagih menghisap vape walaupun mereka masih bersekolah,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk e-rokok pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).
Warta yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan ketika itu iaitu Dr Zaliha Mustafa menyatakan, tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.
Dalam pada itu, Subbarow berkata, antara alasan pelajar ketika ditanya mengapa mereka terjebak dalam aktiviti menghisap vape ialah cecair vape kini boleh diperoleh dalam perisa buah-buahan.
Katanya, ada banyak kedai runcit yang menjual pelbagai jenis perisa cecair vape yang mempunyai kandungan nikotin dalam pembungkusan menarik yang menarik.
“Malah ia dijual secara terbuka kepada semua peringkat umur serta dijual di kedai-kedai runcit yang berada berhampiran dengan sekolah,” katanya.
Tambahnya, nikotin inilah yang menyebabkan perokok dan penghisap vape menjadi ketagih dan meneruskan tabiat yang merosakkan diri mereka.
“Disebabkan itu, CAP mahu kerajaan bertindak dengan lebih tegas dan serius mempertimbangkan untuk memasukkan semula nikotin ke dalam Akta Racun untuk menyelamatkan masa depan pelajar sekolah,” katanya. –UTUSAN










