Kabinet perang Israel ke Washington untuk bincang gencatan

Kabinet perang Israel ke Washington untuk bincang gencatan senjata

BENNY Gantz, dua tengah akan bertemu beberapa pemimpin Amerika Syarikat hari ini. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ahli kabinet perang Israel yang berpengaruh, Benny Gantz akan bertemu dengan pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini untuk membincangkan usaha ke arah gencatan senjata sementara di Gaza dan meningkatkan bantuan kemanusiaan.

Menurut seorang pegawai White House, Gantz akan bertemu dengan Naib Presiden AS, Kamala Harris dan secara berasingan dengan Penasihat Keselamatan Negara White House, Jake Sullivan, 

“Mesyuarat naib presiden adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk melibatkan diri dengan pelbagai pegawai Israel mengenai perang di Gaza dan merancang untuk hari berikutnya,” kata pegawai White House itu.

Seorang lagi pegawai AS berkata, Gantz juga akan bertemu dengan Setiausaha Negara, Antony Blinken.

Gantz datang ketika AS mencari jeda baharu dalam perang hampir lima bulan antara Israel dan Hamas.

Tetapi lawatan oleh Gantz, nampaknya menyebabkan beberapa perpecahan dalam kerajaan sayap kanan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

“Tuan Gantz, kemasukan anda ke dalam kerajaan bertujuan untuk mewujudkan perpaduan pada masa kecemasan, bukan untuk menjadi kuda Trojan,” kata Menteri Kerjasama Serantau Israel, Doudi Amsellem dalam catatan di X.

Gantz, seorang menteri semasa tanpa portfolio, menjadi saingan Netanyahu dan parti Kesatuan Kebangsaan berpusat yang mendapat sokongan luas pada waktu kerajaan campuran Israel kelihatan semakin rapuh.

Lelaki berusia 64 tahun itu berkata di X bahawa dia datang ke Washington dengan lembaga eksekutif  Jawatankuasa Tindakan Politik (PAC) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC), kumpulan pelobi pro-Israel yang berkuasa.

Dia berkata dia menyampaikan penghargaan yang mendalam untuk kerja kumpulan itu untuk mengukuhkan pakatan AS-Israel dan membanteras tahap menyedihkan antisemitisme di seluruh AS.

Pegawai White House itu berkata, Harris akan berbincang dengan Gantz mengenai kepentingan mendapatkan perjanjian tebusan yang akan membolehkan gencatan senjata sementara dan keperluan untuk meluaskan dan mengekalkan aliran bantuan dengan ketara ke Gaza, memandangkan situasi kemanusiaan yang teruk.

AS melancarkan jatuhan barangan dari udara pertamanya ke GazA Sabtu lalu dan pegawai White House berkata, ia bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi untuk meningkatkan bantuan termasuk melalui airdrop dan kemungkinan koridor maritim.

Serangan Hamas pada 7 Oktober lalu mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel dengan kira-kira 250 orang dipercayai dijadikan tebusan.

Tentera Israel berkata, 130 tebusan kekal di Gaza, di mana 31 daripadanya dipercayai mati.

Tindakan tentera Israel meragut 30,410 kematian kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan kerajaan Hamas.

Dengan rakyat Palestin di Gaza menghadapi situasi yang semakin tidak dapat dipertahankan, termasuk kekurangan makanan yang terdesak, gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata semakin berlipat ganda.

Presiden AS, Joe Biden menghadapi tekanan yang semakin meningkat termasuk daripada rakan-rakan Demokrat untuk memberikan tekanan yang lebih kuat ke atas Israel berhubung tindakan perangnya.

Pegawai White House itu berkata, naib presiden akan mengulangi hak Israel untuk mempertahankan diri dalam menghadapi ancaman pengganas Hamas yang berterusan sambil menegaskan mengenai kepentingan perjanjian tebusan, peningkatan bantuan dan gencatan senjata.

Sementara itu, rundingan di Kaherah disambung semula dalam usaha mewujudkan gencatan senjata semasa bulan suci Ramadan yang tahun ini akan bermula pada 10 atau 11 Mac. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×