Tasik Chini: Ambil contoh Projek Eden di UK

Tasik Chini: Ambil contoh Projek Eden di UK

Keadaan Tasik Chini yang musnah kesan daripada kerakusan aktiviti manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kejayaan Projek Eden di Cornwall, United Kingdom (UK) boleh dijadikan contoh bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih Tasik Chini yang mengalami kemusnahan ekosistem kesan aktiviti pembalakan dan perlombongan.

Profesor Kehormat Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Seri Mushrifah Idris berkata, jika dilihat, bekas lombong seluas 12.14 hektar itu memakan masa enam tahun untuk dipulihkan dengan perbelanjaan 140 juta pound sterling iaitu kira-kira RM850juta.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemulihan di bawah Projek Eden terhad kepada bentuk pembangunan menarik ekopelancongan.

“Untuk Tasik Chini, berapa pun anggaran kos diperlukan, tasik kedua terbesar negara itu perlu dipulihkan kembali selepas Tasik Chini berjaya mengekalkan status Tasik Chini Rezab Biosfera (TCRB) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kerajaan negeri sudahpun bersetuju untuk menjalankan pemuliharaan dan pemulihan seperti termaktub di Rancangan Khas Kawasan (RKK) Tasik Chini. Sekarang ini, Tasik Chini diletakkan sebagai Hubungan Ekologi Kebangsaan di bawah Konsep Central Forest Spine Kerajaan Persekutuan. Lembangan Tasik Chini sebagai tapak UNESCO tidak dapat dinafikan.

“Kejayaan mengekalkan Tasik Chini sebagai tapak UNESCO Rizab Biosfera untuk selama 10 tahun lagi perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan melaksanakan pemulihan dan pemuliharaan di tasik itu.

“Tempoh masa 10 tahun tidak lama, ia hanya tinggal lima tahun lagi. Jadi proses pemulihan perlu segera dilaksanakan supaya kelestarian di tapak UNESCO ini dapat dicapai dan memenuhi syarat ditetapkan oleh badan dunia tersebut,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan bahawa, lima tahun lagi iaitu pada 2029, TCRB akan dinilai sekali lagi oleh UNESCO bagi menentukan sama ada badan dunia itu akan terus mengiktiraf tasik semula jadi kedua terbesar selepas Tasik Bera di Malaysia itu sebagai Tapak Rizab Biosfera untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Selepas menerima pengiktirafan itu pada 2009, penilaian UNESCO sepatutnya dibuat pada 2019, namun keputusan pengekalan status tersebut hanya diumumkan pada 2022 apabila ekosistem semula jadi Tasik Chini musnah disebabkan kegiatan perlombo­ngan dan pembalakan yang berleluasa di situ.

Mengulas lanjut, Mushrifah berkata, semua pemulihan bekas kawasan lombong memakan masa yang lama terutama di kawasan hutan tropika.

“Mungkin pemulihan progresif boleh dijalankan yang boleh memberi manfaat termasuk penubuhan awal tumbuh-tumbuhan, yang mengurangkan tahap habuk, menambah baik persekitaran visual serta memulihkan sungai-sungai yang sudah hilang di lembangan ini,” katanya.

Sementara itu, bekas Profesor Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Maketab Mohamed berkata, Tasik Chini boleh dipulihkan, bagaimanapun ia memerlukan tempoh masa agak panjang.

“Ini kerana tak semua bekas lombong ditanam dengan anak-anak pokok, yang ditanam pun masih kecil. Untuk nampak impak positif pemulihan, Tasik Chini perlu sekurang-kurang 10 tahun lagi,” katanya.

Berhubung kualiti air di Tasik Chini, beliau berkata, tasik itu tercemar disebabkan oleh Jumlah Pepejal Terampai (TSS) kesan hakisan tanah dan lombong-lombong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×