GEORGE TOWN: Taman Gurney Bay di Persiaran Gurney di sini yang baru sahaja dibuka Februari lalu kini menjadi tumpuan pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga sempena cuti persekolahan yang bakal berakhir minggu depan.
Meskipun cuaca panas, ia tidak menjadi penghalang untuk orang ramai melakukan pelbagai aktiviti riadah dan bersiar-siar di taman pesisir pantai seluas 11.2 hektar itu.
Tinjauan mendapati orang ramai mula memenuhi kawasan tersebut pada lewat petang sehingga malam bagi mengelak terdedah terlalu lama pada suhu panas.
Seorang pengunjung, Azalina Abdullah, 41, berkata, dia membawa ahli keluarganya bersiar-siar di situ bagi melihat sendiri taman pesisir pantai yang baru sahaja dibuka itu.
“Kawasan ini cantik dan bersih, saya dan keluarga hanya berjalan sambil ambil gambar kenang-kenangan. Walaupun saya orang tempatan, saya jarang melawat kawasan pulau kerana tinggal di Seberang Perai.
“Jadi, waktu cuti hujung minggu ini saya ambil peluang untuk bawa keluarga bersiar-siar di taman ini untuk mengambil angin pantai,” katanya di sini.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Ali Abu Bakar, 45, berkata, dia yang tinggal di Kuala Lumpur membawa keluarganya beriadah di taman selepas terbaca mengenai pembukaannya baru-baru ini.
“Taman ini sesuai untuk orang ramai beriadah dan bersiar-siar. Kawasannya juga lapang dan terbahagi kepada beberapa kawasan.
“Kami datang ke sini agak lewat kerana cuaca panas, jadi selepas pukul 6 petang baru kami datang ke sini, secara keseluruhannya taman ini berbaloi untuk dilawati,” katanya
Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Nur Imani Hussain, 28, berkata, dia melawat taman itu bersama rakan-rakannya untuk beriadah dan merakamkan gambar ketika matahari terbenam.
“Saya tinggal di kawasan berhampiran dengan taman ini dan hanya berkesempatan melawat dan beriadah di taman ini semalam.
“Kawasan ini selamat dan selesa untuk orang ramai kerana ia luas dan lapang. Jadi, jika kita mahu bersenam di sini pun kita tidak akan mengganggu orang lain,” katanya. – UTUSAN










