KHM tidak letak KPI untuk Sarjit

KHM tidak letak KPI untuk Sarjit

Pihak pengurusan KHM memberi masa dan ruang kepada Sarjit Singh untuk membimbing Speedy Tigers.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak meletakkan sebarang petunjukkan prestasi utama (KPI) kepada pengendali baharu Speedy Tigers, Sarjit Singh.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, sebab utama pihaknya tidak meletakkan KPI adalah bagi memberi ruang dan juga masa kepada Sarjit.

“Kita perlu berikan beliau masa kerana kejayaan tidak akan berlaku dalam masa satu hari. KHM akan beri peluang untuk Sarjit membentangkan perancangan dan idea untuk pasukan.

“Beliau akan diberikan ruang untuk selesaikan dahulu apa yang patut terutama dalam urusan pemilihan pemain dan kakitangan yang diperlukannya dalam skuad kebangsaan.

“Mungkin dalam masa dua tahun ini keputusan akan dapat dilihat dan KHM percaya dia boleh membawa pemain ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Sarjit ditawarkan kontrak selama dua tahun untuk mengendali skuad Speedy Tigers yang bakal mengharungi tiga pertandingan tahun ini iaitu Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh (4-11 Mei), Piala Negara-negara di Poland (31 Mei- 9 Jun) dan Piala Juara-Juara Asia di Mongolia Dalam ( 8-17 September).

Menurut Subahan, keputusan melantik Sarjit telah dipersetujui sebulat suara bersama barisan jawatankuasa kejurulatihan yang diketuai oleh Datuk Majid Manjit Abdullah.

“Perlantikan Sarjit dipersetujui oleh semua jawatankuasa dengan semua ahli memberi input dan pandangan masing-masing sebelum KHM membuat keputusan memilih Sarjit.

“Pemilihan Sarjit adalah berdasarkan beberapa faktor dan saya yakin beliau mampu untuk kembali meletakkan pasukan negara lebih kompetitif dan lebih baik pada masa hadapan.

“KHM akan memberi kepercayaan dan sokongan penuh buat Sarjit mengendalikan skuad negara,” jelasnya.

Untuk rekod, Sarjit yang kini menjadi jurulatih Johor pernah menerajui pasukan kebangsaan pada Januari 2007 hingga Disember 2008 dan melatih pasukan remaja dari 2004 hingga 2006.

Sebanyak 23 jurulatih, lima warga tempatan dan 18 warga asing memohon jawatan itu dan 11 ahli Jawatankuasa Kejurulatihan KHM menyenarai pendek empat calon untuk temu duga.

Empat calon akhir terdiri daripada Sarjit, bekas jurulatih kebangsaan K Dharmaraj, Glenn Turner dari Australia dan Brendon Caralon dari Afrika Selatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×