Israel terima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas

Israel terima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas

KANAK-kanak Palestin membakar tayar sebagai protes terhadap kenaikan harga makanan dan bekalan kekurangan, pada 28 Februari lalu di kem pelarian Rafah, selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Israel dilaporkan sedia menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) selepas AS menghulurkan bantuan kemanusiaan pertama ke atas Gaza menerusi jatuhan dari udara.

Perjanjian rangka kerja itu membayangkan pemberhentian permusuhan selama enam minggu yang boleh bermula serta-merta jika pejuang Hamas menandatangani pembebasan tebusan, kata pegawai itu kepada pemberita secara panggilan.

“Orang Israel lebih kurang menerimanya. Sekarang ini, ‘bola’ berada di kem Hamas,” kata pegawai pentadbiran berkenaan.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas pesawat kargo tentera AS mula menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang terkepung.

KEBULURAN DI GAZA

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang kebuluran di Gaza dan lebih 100 orang terkorban awal minggu ini kerana be­rebut makanan dari konvoi trak yang menyampaikan bantuan dengan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

Menurut Komando Pusat AS (Centcom), jatuhan dari udara pada Sabtu lalu termasuk 38,000 makanan dijalankan untuk memberikan bantuan penting kepada orang awam yang terjejas akibat konflik berterusan.

Seorang pegawai Centcom memberitahu AFP bahawa makanan itu terdiri daripada catuan tentera AS yang tidak mengandungi daging babi yang penggunaannya dilarang oleh Islam.

GENCATAN SENJATA SEBELUM RAMADAN

Perunding-perunding dari kuasa serantau bekerja sepanjang masa untuk mendapatkan gencatan senjata Gaza menjelang permulaan bulan suci Ramadan dalam masa kira-kira satu minggu lagi.

“Ia akan menjadi gencatan senjata selama enam minggu di Gaza bermula hari ini jika Hamas bersetuju untuk membebaskan kategori tebusan yang terdedah… orang sakit, cedera, warga emas dan wa­nita,” kata pegawai pentadbiran itu.

Pejuang Hamas mengambil kira-kira 250 tebusan semasa serangan rentas sempadan mereka yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, 130 daripada­nya kekal di Gaza, termasuk 31 yang menurut Israel dianggap mati. Tidak jelas berapa ramai baki tebusan yang terdedah kepada pepe­rangan.

AS berharap sebarang gencatan senjata akan mewujudkan ruang untuk keamanan yang lebih berkekalan.

DELEGASI HAMAS DI KAHERAH

Satu delegasi Hamas berhimpun ke Kaherah pada Sabtu lalu untuk perbincangan mengenai gencatan senjata, sumber yang rapat dengan kumpulan itu memberitahu AFP.

Pegawai pentadbiran ber­kata, gencatan senjata juga akan membolehkan lonjakan ketara dalam bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan jatuhan bantuan dari udara yang tidak dilihat sebagai pengganti konvoi bantuan berskala penuh.

“Jatuhan dari udara adalah alternatif kepada keperluan asas untuk memindahkan bantuan melalui lintasan darat seberapa banyak yang mungkin.

“Itu cara paling berkesan untuk mendapatkan bantuan secara berskala,” kata seorang lagi pegawai AS kepada pemberita.

Majlis Keselamatan PBB mengeluarkan satu kenyataan iaitu menyuarakan kebimba­ngan besar terhadap ketidakamanan makanan yang teruk di Gaza dan menggesa penyampaian bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang secara berskala.​ – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×