KUANTAN: Komuniti dan pengunjung Pantai Batu Hitam di sini berharap pihak bertanggungjawab membaik pulih semula surau yang terdapat di pusat rekreasi berkenaan.
Surau terbabit didakwa tidak pernah diselenggara sejak lebih 10 tahun lalu menyebabkan bahagian dindingnya yang diperbuat daripada kayu dan batu kelihatan reput dan patah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengunjung, Yahya Ahmad, 54, berkata, dia yang hampir setiap hari pergi ke Pantai Batu Hitam terkilan melihatkan keadaan surau yang seakan pondok buruk.
“Kayu di sekeliling surau sudah reput dan bila hujan, air akan memasuki ruang solat. Bila air masuk, orang ramai tidak boleh guna.
“Sebelum ini ketika mereka membuat pembinaan di kawasan sekitar, saya ada ajukan untuk turut membaikpulih surau namun sehingga kini tiada sebarang tindakan,” katanya di sini semalam.
Yahya berkata, dia berasa terkilan melihat keadaan surau yang masih menjadi kegunaan ramai sama ada peniaga dan pengunjung ke pantai berkenaan.
Sukarelawan yang menjaga persekitaran pantai, Sulaiman Sazali, 54, pula berkata, peniaga sekitar mengambil inisiatif sendiri dengan menyumbangkan kain bagi menutup ruang solat wanita serta memasang kanvas di sekeliling surau bagi mengelakkan tempias air hujan.
“Peniaga wanita pula sekali sekala akan membantu membersihkan kain sembahyang yang disumbangkan untuk surau itu bagi keselesaan pengunjung,” ujarnya.
Menurutnya, ramai pengunjung mengadu dan meluahkan rasa terkilan melihatkan keadaan surau berkenaan.
“Kita tidak minta dibina baharu, tapi cukuplah sekadar ia sedap mata memandang dan selesa untuk digunakan. Kita faham surau ini tidak dilengkapi tempat berwuduk kerana bimbang disalahguna. Tapi sekurang-kurangnya bagilah keselesaan buat pengguna,” katanya.
Sulaiman menambah, lebih membimbangkan apabila Ramadan tiba dan surau yang terletak bersebelahan medan selera itu akan lebih menjadi tumpuan ramai. – UTUSAN










