PUTRAJAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu mempunyai sifat yang dapat mengenal pasti situasi semasa sebenar dihadapi rakyat terutama golongan miskin bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan tegar dapat dilakukan secara optimum.
Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, PADU amat penting dalam mengenal pasti kelemahan terhadap sistem terdahulu dalam mengesan golongan miskin yang ada.
Kata beliau, kelemahan sistem terdahulu dilihat gagal mengenal pasti golongan miskin yang benar-benar layak untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan sehingga menyebabkan terdapat golongan miskin yang tercicir.
“Kemiskinan juga bukan sesuatu yang statik, kita ada konsep yang mana pada awal bulan dia tergolong dalam kumpulan M40 tetapi akhir bulan dia merupakan B40. Ini bermakna terdapat golongan yang secara tiba-tiba boleh jatuh miskin.
“Jadi PADU yang dikatakan menggunakan data hampir real time itu dapat mengurangkan perkara itu. Sistem tersebut mungkin tidak dapat selesaikan, jangan kita ingat ia adalah sempurna tetapi sebaliknya permulaan yang baik,” katanya dalam diskusi Madani 2 : Mendepani Cabaran untuk Menoktahkan Kemiskinan Tegar di di Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).
KEB 2024 yang diadakan selama tiga hari sehingga esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) merupakan agenda penting kerajaan bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi bumiputera secara menyeluruh.
Sependapat dengan itu, Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, PADU perlu memastikan ia mempunyai data yang menunjukkan keadaan sebenar bagi kedudukan orang miskin di seluruh negara.
Jelasnya, PADU juga perlu memastikan ia boleh diakses oleh pihak-pihak berkepentingan bagi membantu golongan-golongan miskin yang ada.
“Akses tersebut bagi membantu mengenal pasti siapa yang miskin ataupun tidak, ini kerana banyak dalam data-data tertentu yang ada pihak miskin tetapi tidak tersenarai tetapi bukan miskin tersenarai pula.
“Selain itu, akses tersebut bagi membantu dalam melaporkan keberadaan orang miskin dan untuk bersama-sama melakukan program serta bantuan ke atas kumpulan tersebut,” katanya. – UTUSAN











