BANGKOK: Thailand akan mengharamkan penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi menjelang akhir tahun ini, namun terus membenarkannya untuk kegunaan perubatan.
Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Cholnan Srikaew kepada pemberita dalam satu temu bual.
Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan pada 2018 dan kemudian turut membenarkannya bagi tujuan rekreasi pada 2022.
Langkah itu mendorong kemunculan puluhan kedai, spa, restoran dan festival bertemakan ganja dalam industri yang diunjurkankan bernilai sehingga AS$1.2 bilion (RM5.71 billion) menjelang tahun depan.
Namun Cholnan berkata, kerajaan sudah merangka undang-undang baharu untuk mengawal selia penggunaan ganja yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir tahun ini.
Katanya, draf rang undang-undang itu akan dihantar ke Kabinet untuk diluluskan bulan depan sebelum dibawa ke Parlimen.
“Tanpa undang-undang untuk mengawal penggunaan ganja, ia akan disalahgunakan.
“Penyalahgunaan ganja memberi kesan negatif kepada kanak-kanak Thailand. Dalam jangka panjang ia boleh membawa kepada jenis dadah lain,” katanya.
Kerajaan terdahulu gagal menolak perundangan melalui Parlimen sebelum pilihan raya umum Mei lalu, menyebabkan Thailand tanpa undang-undang payung untuk mengawal penggunaannya.
Jelas Cholnan, kedai menjual ganja yang beroperasi secara haram tidak dibenarkan untuk diteruskan, manakala ganja buatan sendiri juga tidak akan digalakkan.
Bilangan kedai berdaftar secara sah kini dianggarkan sebanyak 20,000 buah.
“Dalam undang-undang baharu, ganja akan menjadi tumbuhan terkawal, jadi penanaman memerlukan kebenaran.
“Kami akan menyokong penanaman ganja untuk industri perubatan dan kesihatan,” katanya.
Draf Rang Undang-undang (RUU) itu menetapkan denda sehingga 60,000 baht (RM8,095) untuk kegunaan rekreasi.
Mereka yang menjual ganja untuk kegunaan sedemikian dan mengambil bahagian dalam pengiklanan atau pemasaran tunas, ekstrak atau peranti rokok berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga 100,000 baht (RM13,333) atau kedua-duanya sekali.
Hukuman bagi penanaman ganja tanpa lesen turut diperketatkan dengan penjara antara satu hingga tiga tahun dan denda dari 20,000 hingga 300,000 baht (RM2,666 hingga RM38,096).
Katanya lagi, import, eksport, penanaman dan penggunaan ganja secara komersial akan memerlukan permit.
Menurut Cholnan, kerajaan yang mengiktiraf penjanaan ekonomi industri ganja akan memberi masa kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu itu.
Kedai sedemikian boleh beroperasi sehingga lesen mereka tamat dan bertukar kepada klinik ganja yang sah jika mereka mengikut peraturan baharu yang dijangka tidak akan memberi kesan kepada industri pelancongan. – REUTERS











