Andai Arkib Negara dianugerah ‘Diraja’

Andai Arkib Negara dianugerah ‘Diraja’

MENGANGKAT Arkib Negara menjadi Arkib Diraja Malaysia (ADM) adalah sejajar tuntutan perubahan, cabaran kontemporari serta pertikaian baharu masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHILANGAN Pulau Batu Puteh apabila diserahkan kepada Singapura pada 2008 adalah tragedi yang sepatutnya menyentap ‘tidur’ dan memberi pengajaran kepada semua pihak.

Banyak iktibar perlu diambil daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda itu termasuk menginsafi sesuatu kegagalan yang ada masanya terpaksa dibayar dengan harga yang tidak ternilai termasuk kedaulatan negara.

Kini kisah Batu Puteh muncul lagi. Kali ini berkait tindakan kerajaan mengemukakan permohonan semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta permintaan tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.

Menerusi dua perkara ini, kita perlu melakukan sesuatu berkait tadbir urus Arkib Negara dengan memperbaiki kesilapan dan kelemahannya. Ini termasuk kewajaran mengaudit semula peranan dan kedudukan agensi kerajaan itu dari sudut punca dan bidang kuasa selain pengukuhan kredibiliti serta profesionalisme.

Justeru Akta 629, Arkib Negara perlu disemak semula. Sesetengah seksyen perlu dipinda, ditambah serta diberi pentafsiran baharu. Beri fokus kepada keperluan untuk memperkukuh lagi akta serta meningkatkan senioriti Arkib Negara sebagai barisan autoriti bertanggungjawab menjaga keselamatan maklumat (dokumen) dan kedaulatan negara.

Mengangkat fail Batu Puteh sebagai kes kajian, ini akan mendorong agensi kerajaan itu mencari perspektif, membina penstrukturan dan meningkatkan keupayaan baharu bagi mengurus semua rekod awam, rekod diraja serta bahan berkaitan yang ada nilai kebangsaan dengan lebih baik. Untuk menjadi autoriti yang cekap, Arkib Negara secara asasnya mesti disusun semula khususnya memperkasakan perjawatan serta kemahiran kakitangan untuk mencapai objektif penubuhannya.

Ada pihak mengatakan, gabungkan semula Perpustakaan Negara ke dalam Arkib Negara. Menyerapkan kembali kakitangannya memang wajar dipertimbangkan kerana langkah itu membantu mengatasi kekurangan kakitangan dalam Arkib Negara. Lagipun, sebahagian tugas pustakawan dan fungsi perpustakaan kini diambi alih oleh teknologi.

Dalam era digital ini, peranan kedua-duanya semakin merosot kerana semua maklumat boleh diakses di hujung jari melalui telefon pintar.

Tetapi bagaimana pula dengan idea ‘lebih berani serta sensasi’ iaitu menganugerahkan Arkib Negara dengan gelaran ‘Diraja’ dan namanya menjadi Arkib Diraja Malaysia (ADM). Meletakkan gelaran ‘Diraja’ mampu mentransformasi badan itu menjadi pasukan berkeupayaan tinggi dan autoriti berwibawa bagi mengurus serta menyelesaikan pelbagai isu kontemporari membabitkan kedaulatan sempadan darat dan laut Malaysia yang dituntut negara serantau lain.

Contohnya, tuntutan bertindih terhadap sempadan laut berkait dengan matlamat memiliki pulau, zon ekonomi eksklusif serta khazanah di Laut China Selatan. Konflik ini sangat serius dan diurus dengan rekod serta kebijaksanaan. Tuntutan bertindih dan bersilang ini melibatkan Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam dan China.

Justeru, hanya dengan meningkatkan status Arkib Negara, maka fokus dan komitmennya bersama agensi kerajaan berkaitan akan tertumpu serta lebih cekap bagi mencipta peluang memenangi pertikaian tersebut. Pada masa sama, sebuah badan arkib lebih utuh diperlukan bagi menjamin kes Pulau Batu Puteh tidak berulang.

Selain itu, dengan status baharu itu, Arkib Negara menjalankan tugas arkib bermakna melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Tiada ruang atau kompromi untuk menangguhkan tugasan atau menafikan keutamaan. Dari segi pengurusan, penubuhan ADM antara lain akan melenyapkan ‘keengganan’ agensi kerajaan tertentu untuk menyerahkan rekod walaupun diakui agensi itu mematuhi arahan dan standard pengurusan arkib ditetapkan.

REKOD
Dalam pejabat kolonial di Britain sahaja dikatakan ada lapan jilid senarai indeks fail berkaitan rekod Malaysia untuk tempoh 1838 hingga 1946. Jika satu jilid sahaja mengandungi ratusan indeks, bayangkan jumlahnya untuk lapan jilid. Ini belum termasuk bahagian lain yang mana jumlah senarai indeks failnya juga banyak.

Bahan serupa juga ada di Jepun, India, Thailand dan sedikit di Singapura. Mungkin juga ada rekod negara di Portugal, Belanda dan Turki. Di Indonesia difahamkan ada rekod berkaitan Malaysia untuk kurun ke-17 dan 18. Namun jumlah sebenar senarai indeks rekod Malaysia di luar negara tidak diketahui. Pada masa sama, fail asal di negara asing tidak boleh dituntut oleh Malaysia melainkan salinanan sahaja kerana mematuhi ketetapan sektor arkib antarabangsa berdasarkan prinsip ‘respect des fonds’ .

Andai ADM ditubuhkan, usaha membawa balik lebih banyak salinan rekod itu pasti akan lebih giat kerana ketika itu kakitangan mencukupi dan kelulusan bajetnya diberi keutamaan Kementerian Kewangan. Sebab itu, lebih ramai juruarkib diperlukan untuk menjayakan misi penyelidikan di muzium, perpustakaan dan arkib di luar negara. Komitmen ini amat penting kerana lebih banyak maklumat baharu perlu diperoleh bagi memperkasakan lagi kedaulatan dan khazanah arkib negara.

Kita boleh mencontohi pencapaian The Royal Archives di Britain. Gelaran ‘royal’ menjadikan aktiviti arkib itu sangat pesat dan cekap. Semua rekod termasuk rekod keluarga diraja Britain sejak 200 tahun lalu dilindungi dengan baik. Sektor pertanian di Thailand pula muncul antara yang paling pelbagai dan termaju di dunia kerana ada komitmen ‘Diraja’ terhadap institusi pendidikan dan penyelidikannya.

Ini bagi menjamin pengeluaran dan sekuriti makanan negara itu berlandaskan falsafah Ekonomi Kecukupan. Jadi jelas, kelebihan gelaran ‘Diraja’ antara lain akan mendorong pasukan tadbir urusnya lebih komited, menghormati serta menjunjung tinggi misi dan peranan institusi tersebut.

Di sisi lain, kini ada pihak mahu mengganggu gugat institusi Raja-Raja Melayu. Justeru semua rekod berkaitan institusi itu mesti disatukan, disimpan dan dilindungi. Sebarang pertikaian, ketirisan, kemusnahan atau kehilangan rekod boleh dimanipulasi pihak tersebut bagi mencapai matlamatnya.

Rekod itu seperti majlis pemasyhuran raja dan YDPA selain warkah peranan raja sebagai ketua agama Islam dan simbol penaung bangsa Melayu. Naskhah dan warkah berkait hubungan raja dengan rakyat, kertas mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, pengumuman Istana Negeri dan Istana Negara, watikah pelantikan oleh raja bahkan titah diraja secara audio, video mahupun bercetak serta lain-lain juga perlu diurus serta dijaga.

Andai ditubuhkan, bererti ADM akan melaksanakan lebih banyak tugasan hakiki termasuk pembimbing, pencetus kesedaran awam dan penguatkuasaan khususnya Seksyen 26 (Larangan pemusnahan rekod tanpa kebenaran Arkib) menerusi pelantikan lebih ramai pegawai berkaitan.

Untuk ADM menjadi realiti, seluruh kakitangan Arkib Negara terlebih dahulu mesti diberi kemahiran baharu termasuk penguasaan bahasa dan teknologi berkaitan. Bajet mesti ditokok untuk menjayakan penyelidikan serta membiayai kegiatan arkib di peringkat negeri menerusi perancangan komprehensif dan inklusif yang dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal dan perunding media, komunikasi, penulisan serta penerbitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×