DUNGUN: Sebuah lori milik syarikat kurier hangus dijilat api selepas dipercayai terbabas berhampiran persimpangan Kampung Che Lijah, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi itu menyebabkan lori jenis Nissan yang sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu itu terbakar 80 peratus dan hampir kesemua barangan yang dibeli pengguna secara dalam talian turut hangus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shahrizal Shamsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.43 pagi sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian hadapan lori tersebut selepas dikatakan terbabas sebelum merempuh lampu jalan.
“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, kita dapati api sedang marak kerana dalam lori tersebut terdapat banyak muatan yang mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa selepas pemandu dan dua kelindan lori itu berjaya keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri.
Shahrizal berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kes diserahkan kepada bahagian penyiasatan kebakaran bomba untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN









