Untung selepas cukai TH Plantations susut kepada RM60.10 juta 

Untung selepas cukai TH Plantations susut kepada RM60.10 juta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan penyusutan keuntungan selepas cukai kepada RM60.10 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, berbanding RM87.94 juta tahun sebelumnya.

Prestasi yang lebih rendah berikutan purata harga minyak sawit mentah (MSM), isirong sawit (PK) dan buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah, walaupun pengeluaran BTS meningkat 13.21 peratus kepada 787,741 tan metrik (Mt) daripada 695,824 Mt.

Tambah THP, hasil BTS juga meningkat kepada 15.18 tan metrik/hektar (Mt/Ha) daripada 13.21 Mt/Ha berbanding tahun lalu.

“Pendapatan kumpulan pula susut 14.66 peratus kepada RM752.03 juta daripada RM881.26 juta walaupun mencatatkan volum jualan BTS yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Bagi suku keempat pula, Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM216.50 juta, penurunan marginal 1.28 peratus daripada RM219.31 juta berbanding suku yang sama tahun lepas.

THP mengisytiharkan dividen sebanyak 2.00 sen sesaham bagi tahun kewangan 2023 dengan jumlah bayaran RM17.68 juta, sebagai penghargaan kepada sokongan semua pemegang saham.

Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, prestasi positif kumpulan sebahagian besarnya disokong oleh kemajuan Pelan Transformasi yang membolehkan THP mengharungi landskap operasi perniagaan yang mencabar dengan lebih baik.

“Kumpulan akan melaksanakan Pelan Perniagaan Strategik lima tahun 2024-2028: “Al-Falah 22/22” dalam memacu kecemerlangan operasi dan kemampanan perniagaan yang dijangka akan memupuk pertumbuhan dan impak positif, di samping melindungi dan memulihara alam sekitar,” katanya.

Tanpa sebarang keadaan luar jangkaan,Kkumpulan mengunjurkan harga minyak sawit akan kekal kukuh berikutan `kesempitan’ bekalan dan permintaan pada suku pertama 2024.

“Keadaan ini berlaku memandangkan pertumbuhan ekonomi global dijangka lebih perlahan dan kemelesetan yang meluas dalam kalangan ekonomi terkemuka dunia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×