Skim bantuan zakat: Wakil pembangkang mahu penjelasan TKM I

Skim bantuan zakat: Wakil pembangkang mahu penjelasan TKM I

MUHAMMAD Fauzi Yusoff (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di markas Pas Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Sekumpulan wakil rakyat pembangkang di Pulau Pinang hari ini menuntut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid memberi penjelasan mengapa tiada sebarang peruntukan di bawah skim bantuan zakat diberikan kepada mereka pada tahun ini.

Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, hal ini demikian kerana, berdasarkan rekod yang disimpan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP), kedua-dua peruntukan tersebut iaitu untuk skim pakaian seragam sekolah dan hamper Nur Ramadan turut diberikan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang hampir setiap tahun sebelum ini.

Namun demikian, Muhammad Fauzi mendakwa, sejak Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I dilantik sebagai orang nombor satu MAINPP dan Pengerusi ZPP yang baharu, peruntukan tersebut tidak lagi diberikan kepada mereka.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua mendakwa, hasrat wakil rakyat pembangkang untuk melakukan lawatan kerja ke pejabat ZPP bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara itu juga tidak dilayan sehingga ke hari ini.

“Jadi, di sini timbul persoalan. Apakah TKM I (Timbalan Ketua Menteri I) kali ini ingin menjadikan zakat sebagai umpan politik bagi memancing hati pengundi Melayu di Pulau Pinang pula?

“Apakah beliau (TKM I) lupa bahawa pembayar-pembayar zakat di Pulau Pinang terdiri daripada mereka yang berlainan latar belakang pendidikan, kerjaya dan pelbagai ideologi politik yang selama ini memberikan sokongan kuat kepada ZPP sehingga berjaya menjadi antara agensi zakat yang terkehadapan di negara ini?” soal beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di markas Pas Pulau Pinang di Pongsu Seribu di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Fauzi yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang berkata, beliau terpanggil untuk membuat sidang akhbar tersebut selepas berbincang dengan wakil rakyat pembangkang yang lain.

Katanya, ia susulan satu hantaran di laman Facebook milik ZPP berhubung sesi taklimat kedua-dua skim yang telah diadakan pada 2 Februari lalu di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam yang dikatakan dibuat tanpa penglibatan daripada wakil rakyat pembangkang atau Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berharap isu tersebut tidak terus berlarutan tempoh jangka masa yang panjang dan pihaknya juga bersedia untuk mengambil langkah yang seterusnya jika ia masih berada pada jalan buntu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×