Sejuk, perit lari di tanah tinggi

Sejuk, perit lari di tanah tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM acara larian, persekitaran dan faktor alam sekitar memainkan peranan penting kepada kejayaan seseorang pelari terutama bagi mereka yang mahu mencatatkan rekod peribadi.

Apatah lagi di kawasan yang mempunyai altitud tinggi dengan melebihi 2,000 kaki dari aras laut.

Justeru apabila berkesempatan menyertai acara larian di Cameron Highlands atau CamRun, ia bukanlah satu perkara yang mudah dan saya sendiri sudah melalui detik ‘kepayahan’ tersebut.

‘Susahnya’ berlari di kawasan tanah tinggi bagi saya adalah disebabkan kurangnya latihan jarak jauh dan latihan bebanan. Kesilapan sendiri yang perlu ditanggung.

Saya selalu berfikir acara larian di tanah tinggi Cameron Highlands lazimnya hanya dijadikan acara santai, dengan tujuan utama lebih kepadamelancong atau dalam istilah lainnya ialah ‘runcation’ – singkatan running vacation.

Apatah lagi ketika berlari dalam suhu sejuk yang memberi keseronokan dan cabaran tersendiri.

Malah saya sendiri pernah beberapa kali berlari di kawasan Cameron Highlands terutama dalam acara larian denai sebelum ini dapat merasakan aura kedinginan suhu antara 17 ke 20 darjah Celsius.

Tidak banyak peluh yang keluar lebih-lebih lagi apabila acara ini bermula pada 12.30 tengah malam.

Yang pasti kesegaran lebih terasa berbanding larian di kawasan ‘hutan konkrit’ yang berhaba tanpa ada pemandangan menarik di samping dapat menamatkan larian dalam tempoh masa ditetapkan.

3,000 PESERTA
Pengarah Media dan Komunikasi Bolt Events Management (BOLT), Azlihana Abdul Rahim, berkata CamRun bukan sekadar sebuah acara larian menawarkan pengalaman berlari dalam cuaca sejuk pada ketinggian mencecah 1,600 meter sebaliknya turut menjadi produk pelancongan apabila edisi ke empat tahun ini, disertai 3,000 peserta dari 16 buah negara.

Antara negara yang terlibat ialah Singapura, Thailand, Indonesia, Yemen dan Jerman.

“Produk pelancongan sukan ini turut diiktiraf Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) iaitu agensi di bawah Kemententerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac.)

“Ia memberi kesan positif bukan sahaja berkaitan aspek ekonomi , tetapi dapat mempromosi gaya hidup sihat, kesatuan dan produk pelancongan sukan yang berdaya tahan,” katanya.

CamRun 2024 memberi kesan yang positif kepada industri pelancongan di Pahang khasnya dan Malaysia
secara umum kerana mampu menarik penyertaan peserta tempatan dan luar negara.

Ia turut menjadi platform larian berkreasi untuk ibu bapa berlari bersama anak-anak mereka sepanjang acara berlangsung.

Ada beberapa kategori bagi acara yang diadakan ini antaranya jarak 21 kilometer (km), 10km dan kategori fun run 5km.

Menerusi tema kelestarian dan kesedaran terhadap alam semula jadi, berlari dalam suasana kehijauan secara tidak langsung menyuntik semangat cintakan kepada flora dan fauna dalam kalangan peserta.

“Kami turut melaksanakan tanggungjawab sosial syarikat (CSR) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menerusi program thrash to cash untuk mengitar semula bahan terbuang di dalam CamRun demi menjaga kelestarian alam semulajadi,” kata Azlihana.

Peserta, Azfar Mohamad, 34, menjadikan acara berkenaan sebagai aktiviti sampingan semasa bercuti di Cameron Highlands baru-baru ini.

“Kalau pergi melawat ke tempat tumpuan seperti ladang teh sudah menjadi kebiasaan. Sekarang saya fikir lebih baik sertai acara seperti ini sebagai selingan apabila datang ke sini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×