IPOH: Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk meneliti cadangan pembangunan strategik yang boleh dilaksanakan di lima daerah yang menerima kesan langsung daripada pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi yang ditubuhkan itu akan memastikan rakyat menerima limpahan ekonomi daripada pembinaan lebuh raya tersebut.
Saarani, yang mempengerusikan jawatankuasa itu berkata, daerah yang menerima kesan langsung daripada WCE ialah Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung serta Daerah Larut, Matang dan Selama.
Beliau berkata, beberapa cadangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan khususnya melibatkan lima daerah itu.
“Pembangunan kawasan pertumbuhan baru di lokasi-lokasi strategik sepanjang WCE turut mengambil kira pekan-pekan sedia ada supaya dapat dibangunkan secara bersepadu.
“Seperti Daerah Hilir Perak, kerajaan negeri merangka pembangunan di sepanjang jajaran Lebuhraya WCE melibatkan kawasan sepanjang 16 kilometer di Mukim Sungai Durian iaitu Pekan Kecil Sungai Durian, Zon Akuakultur Hilir Perak, Floating Market Teluk Intan dan Halal-Hub Teluk Intan.
“Berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035, kawasan di sekitar radius lima kilometer dari persimpangan WCE ini akan dibangunkan secara berpusat merangkumi komponen perumahan terancang, komersial, industri dan institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau menjawab soalan Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini.
Saarani berkata, pembangunan WCE turut merentasi daerah Kecil Kampong Gajah (Perak Tengah) sepanjang 12 kilometer iaitu persempadanan antara Teluk Intan dan Manjung.
“Pembangunan di jajaran ini terdiri daripada kawasan kampung, rancangan perumahan tersusun, kawasan perniagaan serta pertanian seperti kelapa sawit dan jelapang padi,” katanya.
Lebuhraya WCE merupakan sebuah projek infrastruktur negara yang dilaksanakan secara penswastaan dengan jarak keseluruhan 233 kilometer.
Ia melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang di Selangor dan seterusnya menyambung jajarannya di Perak di kawasan Hutan Melintang, Teluk Intan, Manjung, Beruas sehingga Taiping. – UTUSAN










