GEORGE TOWN : Seorang pesara guru yang mengalami kerugian hingga mencecah RM55,000 selepas menjadi mangsa penipuan satu sindiket perkhidmatan pembersihan dalam talian memohon agar pihak bank lebih bertanggungjawab dalam mengendalikan kes seperti itu.
Ooi Eng Lye,66, berkata, dia mengalami kerugian tersebut selepas kad kredit dan kad debitnya digunakan oleh sindiket penipuan itu untuk melakukan pelbagai transaksi dalam talian termasuk pembelian telefon pintar jenis Iphone di Bangkok, Thailand pada 17 November 2022.
Katanya, sebaik sahaja mengesan berlakunya transaksi tersebut, dia telah menelefon pihak bank untuk meminta mereka menyekat kad debit dan kad kreditnya pada hari yang sama.
“Bagaimanapun, saya kesal dan kecewa apabila menerima surat daripada bank berkenaan pada 29 Mac 2023 yang masih meminta saya membayar kepada bank transaksi barangan yang saya tidak lakukan itu.
“Selain itu, saya juga diminta untuk membayar bil kad kredit berjumlah RM10,000 bagi Iphone yang dibeli secara dalam talian di Bangkok yang dipercayai dilakukan oleh sindiket penipuan tersebut.
“Saya amat tertekan dengan cara bank berkenaan mengendalikan kes melibatkan mangsa penipuan kerana pihak bank seolah-olah lepas tangan dalam perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang turut dihadiri oleh Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi, semalam.
Menurut Eng Lye, pihak bank sepatutnya menghentikan segala transaksi daripada kad kredit miliknya sebaik sahaja laporan mengenai kad tersebut telah digunakan oleh sindiket penipuan tersebut.
“Namun, sebaliknya yang berlaku kerana caj masih dikenakan kepada saya yang menjadi mangsa penipuan, bil-bil masih dihantar kepada saya walaupun kad tersebut telah dihentikan penggunaannya. Saya sekarang takut untuk menyimpan wang di bank lagi dan terpaksa menyimpan wang di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Andrew berkata, pihak berkuasa terutama Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengeluarkan garis panduan kepada pihak bank berkaitan prosedur yang perlu dilaksanakan oleh bank bagi membantu mangsa sindiket penipuan.
“Apa yang berlaku kepada Eng Lye mungkin juga boleh berlaku kepada orang lain. Jadi, kami berharap agar pihak bank dapat berlaku adil dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya.-UTUSAN










