THE HAGUE: Wakil Turkiye, Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kesatuan Afrika mengemukakan hujah pada hari terakhir prosiding di mahkamah tertinggi PBB kelmarin, mengenai kesahihan pendudukan Israel di wilayah Palestin .
Lebih seminggu, hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendengar hujah daripada lebih 50 negeri dan tiga pertubuhan antarabangsa berikutan permintaan Perhimpunan Agung PBB pada 2022 supaya mahkamah mengeluarkan keputusan tidak mengikat.
LEBIH SATU ABAD
Wakil Kesatuan Afrika, Hajer Gueldich, memberitahu ICJ bahawa penderitaan dan kengerian yang menimpa penduduk Gaza adalah intipati tragedi Palestin selama lebih satu abad.
Beliau menyebut perang berterusan Israel ke atas Gaza sebagai tidak lain dan tidak bukan hanyalah percubaan memalukan selain mencipta satu lagi Nakba, malapetaka selanjutnya yang ditakdirkan untuk menghapuskan kehadiran Palestin di bumi sendiri.
“Sejarah Palestin adalah sejarah perampasan, perpindahan dan melupuskan manusia. Ia adalah sejarah ketidakadilan,” kata Gueldich.
Beliau berkata, pencerobohan Israel yang berterusan terhadap Gaza menunjukkan tragedi rakyat Palestin yang ditakluk dan ditindas secara sistematik oleh projek penjajah Israel selama lebih tujuh dekad.
Prosiding nasihat itu, katanya, memberikan peluang untuk meminta Israel bertanggungjawab atas serangan, menamatkan serta-merta kebebasan daripada hukuman Israel dan menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
PENYELESAIAN DUA NEGARA
Setiausaha Agung OIC, Hussein Ibrahim Taha berkata, keamanan yang adil, berkekalan dan menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara di Palestin adalah satu-satunya cara untuk memastikan keselamatan serta kestabilan semua orang di rantau ini selain melindungi mereka daripada kitaran keganasan.
Malah, beliau menggesa negara-negara dunia untuk berhenti mengeksport senjata serta peluru ke Israel kerana tentera dan peneroka menggunakannya untuk menentang rakyat Palestin selain menyeru ICJ untuk mengutuk penjajahan Israel di Baitulmuqaddis Timur dan serangan tempat-tempat suci Islam dan Kristian.
Hussein Ibrahim mengulangi kecaman pertubuhan itu terhadap serangan Israel ke atas Gaza, yang membunuh kira-kira 30,000 rakyat Palestin dan mencederakan ribuan lagi, serta keganasan yang meningkat di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.
KESAL UNSC TIDAK UPAYA TAMAT KEGANASAN
Dia juga kesal dengan ketidakupayaan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk menegakkan undang-undang antarabangsa untuk menamatkan keganasan dan memberikan keadilan kepada rakyat Palestin.
Wakil Liga Arab, Abdulhakeem Al Rifai berkata, kegagalan untuk menamatkan pendudukan Israel yang berpanjangan di Palestin membawa kepada kengerian semasa yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Beliau berkata pendudukan itu adalah menghina keadilan antarabangsa.
“Tidak boleh ada justifikasi moral atau perundangan untuk menduduki tanah, membunuh, mengganas, dan memindahkan penduduk mereka,” katanya.
PENDUDUKAN APARTEID TERAKHIR
Beliau menggelar Israel sebagai pendudukan penjajah aparteid terakhir yang menindas dan masih berdiri pada abad ke-21.
Beliau juga menggesa ICJ untuk mengesahkan pendudukan Israel secara haram selain memerintah secara jelas mengenai akibat undang-undang untuk semua pihak terutamanya mereka yang menutup mata, memudahkan, membantu atau mengambil bahagian dalam apa jua cara dalam melakukan situasi haram ini.
“Hanya kedaulatan undang-undang bukan undang-undang hutan yang lazim akan membuka jalan kepada keamanan di rantau ini.
“Menghentikan pendudukan adalah pintu masuk kepada kewujudan bersama secara aman,” ujarnya. -AGENSI










