KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti punca kejadian lemas yang meragut nyawa seorang anggotanya pada 22 Februari lalu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata, langkah berkenaan juga bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) jabatan untuk mengelak kejadian sama berulang.
Beliau menjelaskan, siasatan jawatankuasa khas terbabit dijangka mengambil masa dua minggu untuk dilengkapkan dengan punca kematian anggota berkenaan buat masa ini diklasifikasi sebagai mati lemas.
“JBPM mempunyai manual atau SOP sendiri dan dalam konteks kes ini, siasatan akan dibuat secara menyeluruh untuk menilai bagaimana situasi yang menjurus kepada insiden lemas itu.
“Jawatankuasa khas ini kemudian boleh bertindak dengan hasil siasatan yang diperolehi untuk memperkemaskan lagi SOP melibatkan seluruh pegawai dan anggota JBPM,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Terengganu, di sini, hari ini.
Pada 22 Februari lalu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Mohd. Izwan Illias, 42, ditemukan meninggal dunia selepas lemas ketika menyelenggara bot penyelamat di Jeti Pengkalan Marin JBPM Mak Mandin.
Mayat mangsa kemudian dijumpai selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Pekan Darat, Butterworth pada Jumaat.
erdasarkan laporan awal forensik, punca kematian adalah lemas tapi kita tubuhkan jawatankuasa khas ini bagi menyiasat secara lebih terperinci untuk mengelak kejadian sama berulang,” tambah Nor Hisham.- UTUSAN










