KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menyuarakan ketegasan pendirian berhubung isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan akses bantuan kemanusiaan dipercepatkan kepada penduduk Gaza.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pendirian Malaysia dalam mendukung keamanan dan menentang keganasan harus disuarakan dengan lebih tegas di peringkat antarabangsa.
“Selain itu adapun di peringkat ASEAN mahupun peringkat dunia, Malaysia terus aktif memainkan peranan memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan mengambil kira cabaran geopolitik di perkembangan serantau.
“Malaysia perlu menyuarakan ketegasan pendirian berhubung isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera diaktifkan dan akses bantuan kemanusiaan dipercepatkan,” titah Seri Paduka dalam titah diraja Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15.
Menyentuh soal pendidikan, Sultan Ibrahim bertitah, peluang pekerjaan ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan graduan walaupun peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi dalam negara, ramai graduan yang bermutu tinggi berjaya dihasilkan.
Seri Paduka justeru itu bertitah kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan yang bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberi pendapatan yang berpatutan.
Dalam masa sama, Sultan Ibrahim menyeru semua pihak agar memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan meneroka peluang ekonomi bagi menjana sumber pendapatan selain mempromosikan budaya dan warisan negara kepada para pelancong yang berkunjung ke negara ini kelak,” titah Sultan Ibrahim.











