Penganjuran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang gamit memori zaman kanak-kanak

Penganjuran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang gamit memori zaman kanak-kanak

WONG KHIUNG SING bersama-sama keluarganya bermain layang-layang sempena FLLSPG 2024 yang berlangsung di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penganjuran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) mengimbau kembali memori indah bagi ibu bapa yang hadir menyaksikan permainan tradisional itu di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, dekat sini.

Keterujaan itu dikongsikan mereka bersama-sama anak-anak kecil yang dibawa sambil ‘menurunkan’ ilmu bagaimana menerbangkan Layang-layang itu tinggi di ruang udara.

Bagi, Khairi Shahrizal Radzali, 31, aktiviti riadah itu amat sesuai dilakukan pada cuti hujung minggu, sekali gus mencipta memori indah bersama-sama anak-anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pekerja swasta yang mempunyai dua orang cahaya mata itu mengakui penganjuran FLLSPG mampu membuka mata golongan kanak-kanak mengenai sukan tradisional yang cukup terkenal bukan sahaja di negara ini, bahkan di luar negara.

“Bagi saya, aktiviti seperti ini amat menarik bagi seisi keluarga, menanam minat dalam kalangan anak-anak tentang permainan tradisional ini yang dahulunya menjadi kegemaran ibu bapa mereka.

“Jadi, memori indah semasa kecil dahulu diturunkan kepada anak-anak dengan mengajar mereka bermain layang-layang, ini salah satu cara menguatkan ikatan kekeluargaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Wong Khiung Sing, 43, FLLSPG itu menjadi platform bagi kanak-kanak berjinak-jinak dengan permainan tradisional yang semakin kurang diminati, khususnya mereka yang tinggal di bandar.

Dia berasa puas melihat dua cahaya matanya yang berusia dua dan 10 tahun ceria bermain layang-layang dan menyaksikan persembahan layang-layang gergasi yang mengisi ruang udara di Bukit Layang-Layang.

“Penganjuran festival ini sangat bagus sebagai aktiviti riadah seisi keluarga pada hujung minggu dan kanak-kanak boleh terlibat sama bermain layang-layang. Pengalaman seperti ini jarang ada dan seelok-eloknya dimanfaatkan kerana dapat menggamit kenangan zaman kanak-kanak termasuk semasa membuat sendiri layang-layang,” katanya.

G. Harri Henma, 39, turut mengaku teruja melihat persembahan layang-layang apabila pertama kali mengunjungi FLLSPG 2024 yang memasuki edisi ke-26.

“Penganjuran FLLSPG yang diadakan pada musim cuti sekolah ini membuka ruang untuk kami sekeluarga berada di sini, biasanya kami hanya menonton dan melihatnya dalam kaca televisyen dan akhbar sahaja. Bagi saya, ini pengalaman yang amat menarik dan memberi peluang kepada anak-anak untuk bersuka ria bermain layang-layang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini