APA jua masyarakat yang memusatkan pendidikan sebagai terasnya pasti muncul sebagai sebuah masyarakat berilmu, berdaya saing serta mampu menongkah segala cabaran yang mendatang.
Secara tidak langsung, masyarakat yang kompeten dari segala aspek dapat membantu melestarikan pembangunan dan kemajuan negara agar terus malar.
Aktivitis kemanusiaan Amerika Syarikat, Malcolm X sendiri pernah menyebut bahawa pendidikan adalah pasport kepada masa depan, untuk esok milik mereka yang mempersiapkan diri pada hari ini. Maka tidak salah jika dikatakan sesebuah masyarakat atau negara yang meminggirkan pendidikan akan hilang ditelan zaman.
Sistem pendidikan menerima tempias dalam arus globalisasi yang semakin rancak dengan perkembangan teknologi dan maklumat tanpa sempadan.
Di negara kita, kurikulum pendidikan negara terus berevolusi dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat yang berubah.
Sebagai usaha menyambut perubahan tersebut, Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan Fadhlina Sidek mengumumkan dasar baharu iaitu tujuh teras utama kementerian pada 15 Disember 2022. Dasar ini diperkenalkan bagi memperkasakan sistem pendidikan negara yang sedia ada dengan menitik beratkan kepentingan semua pemegang taruh, khususnya murid.
Menyebut sahaja tentang murid, antara perkara yang diberi perhatian oleh beliau adalah berkaitan elemen pentaksiran dalam pendidikan. Disebabkan itu, pihak Kementerian Pendidikan meneruskan dasar pentaksiran terdahulu iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang diperkenalkan pada 2016.
Pihak kementerian melihat PBD sewajarnya diteruskan memandangkan ia bersesuaian dengan konsep Madani yang menekankan elemen manusiawi. Elemen manusiawi yang diperkatakan ialah pendidikan yang bersifat menyeluruh dan memberikan penumpuan terhadap soal karamah insaniah.
Kementerian Pendidikan tidak mahu memfokuskan kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya berhasrat tinggi dalam melahirkan generasi muda yang memiliki nilai sejagat seperti adab, akhlak serta integriti dan berjati diri tinggi.
Apabila memperkatakan tentang murid dan pentaksiran, hingga kini ramai pihak terutamanya ibu bapa masih keliru tentang tujuan dan matlamat pengenalan PBD. Lebih-lebih lagi, apabila ada segelintir ibu bapa termakan dengan kritikan negatif dan tohmahan yang terpampang di media sosial.
Sikap segelintir pihak, terutamanya ahli akademik sendiri yang melakukan tindakan tersebut memberikan satu imej buruk terhadap kementerian. Ia seolah-olah kementerian tidak cakna dan tidak kompeten dalam pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan. Disebabkan itu, ramai ibu bapa yang tidak mahu PBD dilaksanakan.
Akhirnya, mendesak pihak Kementerian Pendidikan untuk mengembalikan semula peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) ke dalam sistem pendidikan.
Inilah antara sikap ibu bapa di Malaysia yang lebih mempercayai pihak yang tidak terlibat dengan proses pendidikan di sekolah.
MENILAI SECARA INKLUSIF
Sebenarnya PBD bukanlah satu bentuk ujian atau peperiksaan untuk membandingkan pencapaian dalam kalangan murid. Sebaliknya, PBD adalah bertujuan untuk menilai murid secara inklusif dengan mengambil kira kebolehan murid yang pelbagai dalam sesebuah kelas.
Guru menggunakan pendekatan PBD sebagai panduan utama bagi melihat perkembangan dan kemajuan serta pencapaian murid dari semasa ke semasa. Sekiranya seseorang murid itu agak lemah melalui penilaian Tahap Penguasaan (TP) yang ditetapkan, maka guru boleh menjalankan bimbingan tambahan.
Malah guru boleh menggunakan PBD ini sebagai alat penilaian bagi mereka membuat penambahbaikan terhadap pengajaran mereka di bilik darjah.
PBD membantu murid untuk membentuk keperibadian yang lebih baik dengan menekankan nilai-nilai murni. Misalnya, penerapan semangat kerjasama sesama mereka semasa melakukan perbincangan dan pembentangan.
Sudah pastinya ujian atau peperiksaan tidak dapat membuka ruang untuk anak-anak kita berinteraksi sesama sendiri. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak-anak bangsa yang datang
daripada kepelbagaian kaum. Sudah tentunya pembentukan insaniah tidak dapat disemai jika kita hanya memfokuskan kepada peperiksaan sepenuhnya.
Malahan PBD dapat membantu murid untuk membuat penilaian kendiri. Penilaian kendiri sangatlah penting agar mereka dapat meneroka dan membuat refleksi terhadap diri sendiri untuk menjadi seseorang yang lebih baik.
Sebagai seorang guru yang pernah mengajar di sekolah rendah lebih daripada dua dekad, saya berpendapat bahawa PBD bukanlah satu pentaksiran yang lemah seperti yang dihitamkan oleh segelintir pihak.
Mungkin kita tidak dapat melihat hasilnya dalam masa terdekat tetapi dalam jangka masa yang panjang, ia akan menjana perubahan besar seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu, pihak ibu bapa haruslah lebih terbuka, positif dan memberikan sokongan terhadap dasar-dasar pendidikan baharu yang diperkenalkan. Mereka perlu sedar bahawa pihak kementerian mencuba yang terbaik untuk memperkasakan kemenjadian murid, dan bukan sebaliknya.
Apa-apa pun, kita haruslah mengamalkan permuafakatan yang sihat demi kebaikan bersama. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Ipoh, Perak.










