YALA (THAILAND): Hampir 300 pasangan Malaysia dilaporkan bernikah di negara ini dalam tempoh sebulan.
Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pernikahan itu melibatkan poligami, lain-lain alasan termasuk berkahwin dengan penduduk tempatan.
“Kesemua jumlah pernikahan itu berlangsung di lima wilayah negara ini melibatkan Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun.
“Daripada jumlah tersebut, saya boleh katakan 60 peratus pernikahan itu yang melibatkan poligami,” katanya semasa ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian ‘Melayu Day’ di sini semalam.
Ahmad Fahmi memberitahu, pasangan yang bernikah di negara ini perlu ke pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla dan menyerahkan semua dokumen perkahwinan untuk pengesahan.
Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan pasangan terlibat tidak dapat mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia sekali gus memberikan implikasi tidak baik.
“Perkara ini penting bagi memastikan dokumen pernikahan itu sah dan pasangan tersebut selamat diijab kabul. Hal ini kerana ada dalam kalangan sindiket yang mengambil kesempatan.
“Sebagai contoh, ada pasangan Malaysia sebenarnya tidak datang pun ke Thailand untuk bernikah. Sebaliknya mereka telah diperdaya oleh sindiket yang mengambil kesempatan, jadi tugas kami (konsulat) ialah melihat kembali dan melakukan pengesahan pernikahan itu,” ujarnya.
Ahmad Fahmi berkata, pihaknya menasihatkan pasangan yang bernikah di sini supaya mendaftarkan perkahwinan mereka sejurus pulang ke tanah air.
Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh mengundang pelbagai masalah termasuk soal kerakyatan, pewarisan harta dan sebagainya.-UTUSAN










