Harga beras kena munasabah - Utusan Malaysia

Harga beras kena munasabah

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga beras putih baharu perlu ditetapkan pada kadar munasabah supaya tidak membebankan pengguna dan memberi keadilan kepada pesawah.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, kadar yang munasabah boleh ditetapkan berdasarkan harga pasaran antara beras import dan tempatan.

“Kalau harga kawalan beras tempatan RM2.60 per kilogram, beras import sudah tentu dalam RM35 ke atas bagi 10kg dan itu banyak beza. Dulu, beras tempatan RM26 dan beras import RM28, bezanya lebih kurang. Jadi (harga) perlu lebih kurang macam itu.

“Harga baharu biarlah mengambil kira semua faktor supaya rakyat boleh terima apa dicadangkan kerajaan. Kita tidak mahu ia jadi tolakan rakyat kerana kos sara hidup yang tinggi,” katanya ketika dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, jika berlaku kenaikan harga beras, ia perlu diseimbangkan dengan kaedah subsidi bersasar seperti pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

“Kalau harga lebih tinggi, mungkin kita boleh memper­kenalkan kaedah subsidi bersasar kepada yang kurang mampu. Kalau perlu buat harga kawalan maksimum, kita akan laksanakan supaya kita boleh pastikan beras tempatan sentiasa berada dalam pasaran,” katanya.

Katanya lagi, harga beras baharu juga harus mempertimbangkan kos yang perlu ditanggung pesawah.

“Pihak pesawah pun perlukan harga baharu kerana kos mereka meningkat. Walaupun kerajaan subsidi 60 peratus tapi baki 40 peratus masih ditanggung oleh pesawah.

“Jadi, kita perlu ambil kira semua aspek sebab itu kita tidak boleh ada perbezaan harga beras import dengan beras tempatan, jurang terlalu besar. Takut manipulasi akan berlaku,” katanya.

Katanya, apabila ada harga beras yang lebih baik, ia memberi galakan besar kepada pesawah untuk menanam padi.

MOTIVASI

“Harga beras yang munasabah bermakna motivasi untuk menanam padi itu lebih tinggi oleh pesawah,” katanya.

Semalam, dalam Mesyua­rat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sehingga 20 Mac 2024 untuk menetapkan harga beras baharu.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci dan secepat mungkin, dengan mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau juga mengarahkan agar program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Katanya, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga beras putih import dalam pasaran supaya ia boleh dijual pada harga lebih rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×